Jika Raja Tengku Abdullah bakal naik takhta sebagai Sultan Pahang, ini yang akan berlaku selepas itu

Kerabat diraja Pahang dilapor akan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan kemungkinan Pemangku Raja Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah naik takhta sebagai sultan.

Cadangan itu, jika diterima, akan menyaksikan pertabalan Tengku Abdullah sebagai sultan Pahang moden keenam pada Jumaat ini.

Ia sekali gus akan membuka laluannya untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, berdasarkan sistem penggiliran sembilan raja-raja Melayu.

Memetik sumber, New Straits Times (NST) melaporkan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, 88, telah dimaklumkan berkaitan mesyuarat itu.


“Perkara itu (cadangan menabalkan Tengku Abdullah) telah diusulkan oleh beberapa kerabat berpengaruh dan penasihat-penasihat dalam keluarga diraja. Sultan Ahmad telah dimaklumkan berkaitan perkara itu.

“Mesyuarat berkaitan pemakzulan (turun takhta) akan diadakan minggu ini. Ia hanya akan dihadiri oleh kerabat terdekat dan penasihat-penasihat.

“Sultan masih gering. Tengku Abdullah telah pun mengendalikan hal ehwal negeri bagi pihak ayahandanya,” katanya.

Berdasarkan sistem penggiliran, sekarang adalah giliran Pahang untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan. Kita berharap untuk terus menghormati sistem penggiliran,” kata sumber diraja.

Mengikut Perlembagaan Pahang, penggantian pemerintah tertinggi negeri boleh dibuat jika mendapat perkenan sultan untuk menyerahkan hak dan kuasa baginda.


Pembantu-pembantu Tengku Abdullah dan pejabat sultan di Pekan enggan mengulas isu itu yang dianggap sensitif.

Sumber-sumber memaklumkan Sultan Ahmad sebelum ini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN). Baginda dikatakan dibenarkan keluar wad dua minggu lalu dan sedang bersemayam di Istana Pahang di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur.

Tengku Abdullah pula dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari London untuk menghadiri mesyuarat yang dijangka berlangsung di Istana Pahang.

Majlis Raja-raja menetapkan 24 Januari ini untuk memutuskan pengganti Sultan Muhammad V dan 31 Januari untuk angkat sumpah.

Sumber: malaysiakini

Add Comment