Tulis Kotak Isi Kasut Bola Rupa Rupanya Ular Sawa. Terkejut Pekerja Pos Laju Ini Dan Ini Komen Wakil Dari Pihak Pos Malaysia

TINDAKAN zalim dan berbahaya. Demikian komen daripada Pos Malaysia berkenaan tindakan individu tidak bertanggungjawab menghantar ular sawa batik yang dimuatkan di dalam kotak menggunakan perkhidmatan Pos Laju.

Jurucakap Pos Malaysia ketika dihubungi berkata, tindakan itu juga berisiko dan mengancam keselamatan petugas Pos Malaysia dan orang awam selain menjejaskan operasi syarikat.

Beliau berkata, pihaknya maklum mengenai penularan di laman sosial yang memaparkan beberapa gambar bungkusan Pos Laju berlabel ‘kasut bola’ namun didapati mengandungi ular hidup.

“Pos Malaysia ingin menegaskan bahawa perbuatan mengirim bungkusan yang mengandungi haiwan, termasuklah serangga, telur, larva, burung dan gading, adalah dilarang sama sekali.

“Untuk makluman pengguna, penghantaran sebarang barangan larangan sekiranya diketahui kakitangan kami akan ditolak penerimaannya atau, jika dikesan dalam perjalanan, akan ditahan,” katanya

Menurutnya, jika berlaku kes sedemikian, barangan itu akan diuruskan dalam apa jua cara yang difikirkan wajar oleh Pos Malaysia dan dalam sesetengah kes, pengirimnya boleh didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, untuk kepastian, pengguna digalakkan membuat pertanyaan di pejabat pos atau cawangan Pos Laju bagi mengetahui sama ada pengiriman sesuatu barangan itu dibenarkan.

Dalam kejadian semalam, bungkusan itu dialamatkan ke blok kediaman di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan dilabel sebagai ‘kasut bola.’

Namun, difahamkan beberapa petugas Pos Malaysia membuka bungkusan berkenaan selepas terdapat benda hidup bergerak di dalamnya sebelum mendapati ia adalah ular sawa batik.

Bedasarkan ‘tracking number’ yang disemak melalui laman web Pos Laju, bungkusan itu tiba di Bayan Lepas Pulau Pinang semalam sebelum dihantar semula ke Sungai Buluh kerana didapati melanggar peraturan yang dibenarkan.

Usaha wartawan NSTP Pulau Pinang untuk menghubungi penerima bungkusan itu juga gagal selepas dia enggan menjawab panggilan.

INFO:

Barangan utama lain yang dilarang adalah seperti berikut :

Bahan letupan, mudah terbakar, bersifat najis, memudaratkan atau apa-apa bahan yang membahayakan dan barangan yang tajam serta tidak dilindungi.

Senjata dan komponen yang berkaitan.

Dadah berbahaya kecuali pengeluaran yang mempunyai lesen eksport termasuklah narkotik dan psikotropik yang ingin dihantar bagi tujuan perubatan dan saintifik kepada negara-negara yang membenarkan perkara ini.

Barang-barang yang bersifat mudah rosak jika terdedah kepada udara terutama jika terdedah kepada cuaca tropika atau sub-tropika dan barang-barang tersebut perlu disimpan di dalam bekas tertutup yang kedap udara semasa penghantaran ke sesuatu destinasi bagi melindungi barangan tersebut daripada rosak.

Barang-barang dalam bentuk bungkusan yang mana boleh mendedahkan kakitangan pos kepada bahaya atau kekotoran atau kerosakan barangan pejabat atau barangan pos atau boleh menjejaskan operasi pos.

Surat-menyurat yang mengandungi apa-apa tiket loteri atau setiap tiket atau setiap iklan hadiah atau pengumuman yang lain dan apa jua untuk tujuan loteri awam, cabutan bertuah atau urus niaga perjudian lain.

Syiling dan mata wang, sekuriti-sekuriti termasuk jenis dibayar kepada pembawa, nota-nota bank atau matawang asing.

Bahan-bahan radioaktif sama ada dalam bentuk pepejal, cecair atau bergas.

Corak komunikasi melampau dan tidak bermoral termasuk cetakan gambar-gambar, buku-buku mahupun apa jua bahan, seni rekaan atau pada tanda-tanda pembungkus yang berunsur tidak senonoh, kesat atau lucah.

SUMBER : HMETRO ONLINE

Add Comment