Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Cara Mendapat Khusyuk Di Dalam Solat
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew
Kami bahagikan di sini beberapa bahagian untuk mendapatkan kekhusyukkan di dalam solat :
Bahagian pertama : sebelum mendirikan solat iaitu persediaan untuk solat
Bahagian kedua : ketika hendak hampir solat
Bahagian ketiga : ketika dalam solat
Pertama: Persediaan Untuk Solat
Solat tepat pada waktu.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah al-Nisa’: 103)
Dan ada hadis pula yang menyatakan bahawa solat di awal waktu itulah yang paling afdhal, ini sebagaimana hadis daripada Ummu Farwah, beliau berkata:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَىُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ قَالَ: الصَّلاَةُ فِى أَوَّلِ وَقْتِهَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah ditanya, amalan apakah yang paling afdhal. Lalu Baginda pun menjawab: “Solat di awal waktunya.”
Riwayat Abu Daud (426)
Membersihkan diri dan bersugi.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ وُضُوءٍ
Maksudnya: “Jikalau tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali wudhu’.”
Riwayat al-Bukhari (1934)
Jangan solat jika makanan telah tersedia.
Daripada Aisyah, beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksudnya: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.”
Riwayat Muslim (560)
Imam Muslim Rahimahullah ada menulis satu bab dalam Sahihnya berkenaan dengan hukum makruh solat jika makanan telah tersedia dan seseorang itu berkeinginan untuk makan.
Jangan solat dalam keadaan menahan air besar dan kecil.
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksudnya: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.”
Riwayat Muslim (560)
Bagi ulama yang berpendapat bahawa khusyuk termasuk dalam kewajiban solat, bererti maksud kata “laa” dalam hadis menunjukkan tidak sah solat dengan menahan kencing. Sedangkan menurut jumhur atau majaoriti ulama bahawa khusyuk adalah sunnah, bukan wajib. Sehingga “laa” yang dimaksud dalam hadis adalah menafikan kesempurnaan solat atau hadis tersebut diertikan “tidak sempurna solat dari orang yang menahan kencing”.
Menurut jumhur ulama, menahan kentut juga hukumnya makruh.
Imam Nawawi berkata: “Menahan kencing dan menahan dari membuang air besar (termasuk kentut) mengakibatkan hati seseorang tidak fokus di dalam solat dan khusyuknya akan terganggu. Menahan qadha hajat seperti itu hukumnya adalah makruh menurut majoriti ulama Syafi’iyah dan juga ulama selainnya. Jika waktu solat masih luas (masih ada waktu yang luas untuk qadha hajat), maka hukumnya adalah makruh. Namun bila waktunya sempit untuk solat, contohnya jika makan atau bersuci boleh keluar dari waktu solat, maka (walau dalam keadaan menahan kencing), tetap kena solat pada waktunya dan tidak boleh ditangguh lagi.”
Imam Nawawi berkata lagi: “Jika seseorang solat dalam keadaan menahan kencing padahal masih ada waktu yang luas untuk melaksanakan solat setelah buang hajat, solat pada ketika itu hukumnya adalah makruh. Namun, solat tersebut tetaplah sah menurut kami -ulama Syafi’i- dan inilah pendapat jumhur atau majoriti ulama.” Lihat Syarh Shahih Muslim, (5/46)
Al-San’ani berkata: “Perlu diingat bahawa hal ini bukan termasuk bab mendahulukan hak hamba mengatasi hak Allah, tetapi itu termasuk masalah menjaga hak Pencipta, agar tidak termasuk dalam ibadah kepada-Nya dengan keadaan hati yang tidak diterima munajatnya.” Lihat kitab Taisir al-Allam Syarh Umdah al-Ahkam (104-107) oleh Abdullah bin Abdurrahman bin Soleh Ali Bassam.
Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Memakai pakaian yang kemas dan selesa akan memudahkan untuk khusyuk di dalam solat. Ini kerana, terdapat sebahagian orang yang solat tidak khusyuk disebabkan memakai pakaian yang ketat, pakaian yang singkat dan sebagainya.
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang). (Surah al-‘A’raf: 31)
Jangan makan dan minum berlebihan ketika hendak solat.
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-‘A’raf: 31)
Solat di tempat yang tiada gangguan.
Berwudhu’ dengan sempurna.
Wudhu’ dengan sumpurna ialah mengikut cara yang diajar oleh Nabi SAW sama ada yang dalam perkara wajib wudhu’ atau pon sunat wudhu’
Tidak membazir air ketika berwudhu’
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melintasi Saad yang sedang berwudhu’, lalu Baginda SAW bertanya: “Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad?” Saad bertanya: “Apakah di dalam wudhu’ juga ada istilah berlebih-lebihan?” Baginda SAW menjawab: “Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ahmad)
Kedua: Ketika Hendak Hampir Solat
Azan dan iqamah.
Dilakukan secara berjemaah
Menghadirkan hati.
Mengibaratkan sebagai solat yang terakhir atau mengingati ma ti
Mengingati kema tian dapat membantu seseorang untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat. Nabi S.A.W bersabda,
اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ
Maksudnya: “Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat ma ti dalam solatnya, maka ia akan mempeelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).”
Riwayat al-Baihaqi dalam Kitab Al-Zuhd
Tidak melakukan mak siat ketika sebelum solat.
Ketiga: Ketika Dalam Solat.
Memahami dan menghayati bacaan dalam solat
Di antara cara yang dapat membantu seseorang untuk khusyuk di dalam solatnya adalah dengan meneliti dan menghayati makna-makna bacaan di dalam solatnya. Hal ini kerana, solat adalah saat berdirinya seorang hamba di hadapan Tuhannya. Justeru segala bacaan ayat di dalam solat perlulah difahami dengan baik kerana al-Quran itu sendiri merupakan kalamullah.
Supaya kita tidak menjadi orang yang seperti di dalam ungkapan ini:
“Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Justeru itu amatlah digalakkan untuk memahami setiap makna ayat-Quran yang dibacakan di dalam solat kerana ia akan lebih menambah kekhusyukkan di dalam solat.
Memahami fiqh solat dengan sempurna
Merendahkan dan menghinakan diri di hadapan allah swt
Mengagungkan allah swt
Memperbanyakkan sunnah dalam solat sama ada qauli atau fi’li
Membaca doa yang sunnah dalam solat
Menghadirkan hati ketika sujud.
Ini kerana sewaktu sujud merupakan saat paling hampir antara hamba dengan Tuhan-Nya.
Memohon perlindungan daripada gangguan syaitan
Tidak memikirkan hal keduniaan
Mengurangkan pergerakaan tu buh.
Tidak melihat ke langit.
Lihat pada tempat sujud dan pada tempat yang mendatangkan kekhusyukkan.
Lakukan dengan tama’ninah serta tidak tergopoh-gapah
Di antara cara untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat adalah dengan melakukannya dengan penuh ketenangan. Perbuatan gopoh-gapah di dalam solat dengan cara melakukannya dengan laju, tidak ada thoma’ninah (ketenangan) di dalam rukuk dan sujud adalah dilarang oleh Nabi S.A.W. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَرَدَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَيْهِ السَّلاَمَ فَقَالَ ” ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.”
Riwayat Al-Bukhari (793)