Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Kisah ini menginsafkan. Boleh mengalirkan air mata. Ini kisah sebuah hidayah yang mengintai lama…
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew
Kenalkan Bro Mohamad Keith-Kingsley Cunliffe dari London. Beliau antara orang paling tua masuk Islam di England. Masuk Islam di usia 90an.
Cerita jatuh cinta Bro Mohamad Bermula pada tahun 1950an. Ketika itu Bro Mohamad dapat tawaran bekerja dengan sebuah syarikat British di Indonesia. Kerja di Kilang teh. Beliau seronok.
Inilah kali pertama beliau berjumpa dengan orang Islam. Sebelum itu hanya mendengar dari kejauhan sahaja. Dia tidak peduli dan tidak rasa tertarik langsung.
Ketika sampai di Indonesia dia lihat suasananya berbeza. Tingkah laku laku orang Islam Indonesia halus dan sopan.
Jiwa Bro Mohamad tersentuh dengan kebaikan orang Islam Indonesia…
Bro Mohamad sebut ada perkara yang buat dia tertanya tanya. Sehari lima kali dia lihat pekerjanya akan ke sungai basuh, muka, tangan dan kaki. Kemudian lakukan pergerakan tersusun.
Ada ketua berdiri di depan. Apabila si ketua ini sebut satu perkataan dan buat pergerakan, yang lain akan ikut.
Hati dia membisik ‘apa yang dilakukan? Mereka nampak tenang!’
Satu hari ketika bekerja pekerjanya minta kebenaran ke sungai. Dia izinkan. Dia ikut dari belakang. Dia perhatikan tingkahlaku pekerjanya.
Selesai sahaja dia tanya ‘kamu buat apa tadi? Untuk apa kamu buat begitu”
“Saya ambil wuduk master. Untuk solat. Yang master lihat sebelum ini. Itulah solat” jawab pekerjanya.
Bro Mohamad angguk. Baginya sangat harmoni. Bila kerjanya selesai, dia pulang semula ke England. Dia sempat membeli senaskah mashaf Quran terjemahan.
Mulai saat itu dia sentiasa membaca terjemahan Quran itu. Ada saja buku tentang Islam yang dibeli dan dijadikan rujukan.
Dia faham. Tapi Hidayah belum muncul. Sehingglah dia berumur 90 tahun…
Satu hari ketika berjalan di London dia terserempak Dengan booth dakwah Abdul Raheem Green. Di situ dia berdialog, bertanya dan mendengar. Dari perjumpaan itu hatinya terus terasa diketuk ketuk untuk ketahui tentang Islam.
Diatur pertemuan demi pertemuan. Akhirnya hidayah yang dinanti muncul. Bro Mohamad lafazkan syahadahnya pada usia di hujung senja Dengan linangan air mata.
Selesai sahaja ucapan syahadah, dia rasa seperti satu beban besar terangkat dari dadanya. Rasa lapang. Tenang dan damai terus menghuni hatinya.
Ketika ditanya apa nama yang dimahu beri pada diri sendiri. Dia sebut dengan bangganya “Mohamad” after the most admired person in the whole history of mankind.” Terdengar laungan takbir Allahu Akbar yang kuat ketika itu.
Ramai yang menangis termasuk Bro Mohamad sendiri…
Selepas peluk Islam Bro Mohamad sangat bersemangat untuk pelajari Islam terutamanya cara membaca Quran dan fahami Bahasa Quran.
Dia daftar diri di kelas mengaji di masjid. Ketika mahu daftar, staf yang bertugas ingatkan Bro Mohamad mahu daftar cucunya. Sebab yang ada di kelas itu adalah pelajar berumur 5 tahun.
Tetapi Bro Mohamad tanpa segan silu berkata dia yang mahu daftar untuk diri sendiri. Dia mahu belajar baca dan faham Quran pada usia 90an.
Staf yang menjaga mengalirkan air mata dan memeluk Bro Mohamad…
Mulai saat itu Bro Mohamad hadir setiap kelas. Dialah orang pertama yang datang ke kelas. Duduk dan belajar Dengan budak berumur 5 tahun tanpa rasa malu.
“Sekarang saya sudah boleh membaca Quran tapi belum faham bahasa arabnya. Sedih saya” jawapan sedih Bro Mohamad tentang samada dia faham apa yang dibacanya.
Ketika Bro Mohamad ditanya “apa titik mula dia tertarik dengan Islam”. Dia sebut kebaikan akhlak dan adab orang Islam Indonesia membuka hatinya pada Islam.
Kisah ini menarik bagi saya. Banyak pengajaran yang dapat dikutip. Terutamanya tentang hidayah dan akhlak. Ini pengajaran yang saya kutip:
1. Hidayah tidak pernah salah alamat. Hidayah akan datang bertamu apabila tiba masanya. Jangan berhenti mengharap dan meminta hidayah dari Allah.
2. Belajarlah. Jangan berhenti belajar. Usia bukan garis pemisah untuk belajar.
3. Baca Quran dengan maknanya. Bertadabbur. Cari erti.
4. Berakhlak dan beradablah dengan manusia. Ia akan jadi asbab Hidayah yang datang bertamu di hati manusia lain.
5. Solat jemaahlah bila tiba waktunya. Siapa sangka pekerja kilang teh yang solat berjemaah hadirkan Hidayah pada sang pengurus.
Fikirkan satu. Apabila kita lakukan sesuatu hidayahkah yang akan hadir atau musibahkah yang akan jadi banjir hanyutkan kebaikan kita dan jauhkan manusia dari kebaikan.
Fikir fikirkan.
sumber; DrRizal Abu Bakar
kredit; Nur Bakar