Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Niat dan amalan bersedekah adalah satu amalan yang mulia. Sedekah amatlah dituntut didalam islam. Amalan ini mendapat ganjaran yang besar daripada Allah. Orang-orang yang suka bersedekah juga telah dijanjikan oleh Allah akan rezekinya. Tidak akan berkurang namun akan dilipat gandakan sebanyak 10 kali untuk setiap satu sedekah.
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew
Namun apa yang menduka citakan pada hari ini, amalan sedekah itu tidak dilakukan mengikut adab-adab yang telah diajarkan oleh islam.
Kebanyakkan daripada kita menyedekahkan sesuatu selepas kita rasa tidak mahu membazir atau memberikan sesuatu yang sudah tidak elok kepada penerima sedekah. Ini adalah bertentangan dengan apa yang di ajarkan oleh Islam.
Seperti kisah ini, pelajar-pelajar tahfiz saban minggu berhadapan dengan lauk-lauk basi yang disedekahkan kepada mereka. Alasan pemberi adalah tidak mahu membazir, lauk lebihan kenduri yang tidak mampu dihabiskan diberikan kepada pelajar tahfiz. Sekiranya lauk tersebut masih elok untuk dimakan tidaklah menimbulkan masalah, tetapi belum sempat dijamah, lauk sudah berbuih dan basi.
Lebih malang pelajar terpaksa menanggung bau masam ketika tidur. Adakah ini layanan yang selayaknya kita beri kepada orang-orang yang belajar ilmu Allah?
Berikut adalah perkongsian kisah daripada seorang mudir tahfiz yang diambil daripada laman Fa ce bo ok Kasih Till Jannah. Semoga kita mengambil iktibar daripada kisah ini.
BUKANLAH menyombong ataupun besar diri, tetapi inilah hakikatnya mengapa saya sering menolak lauk lebihan kenduri bila dihantar ke madrasah. Lauk lebihan kenduri yang sayang untuk dibuang akhirnya dihantar ke madrasah dengan alasan tidak mahu membazir. Tetapi sebenarnya ketika dihantar lauk ini sudahpun separuh basi. Hantar jam 6 petang, jam 7 petang sudah basi dan berbuih.

Lebih malang lagi semalaman pelajar tidur dengan bau masam dan busuk dari lauk-pauk basi ini. Malah pagi-pagi buta lagi para pelajar tahfiz terpaksa menyelesaikan pula masalah ‘tuan rumah kenduri’ semalam iaitu buang lauk pauk. Di mana kami nak buang lauk yang berperiuk-periuk ini?
Hampir setiap minggu inilah rutin harian kami. Bukan tidak menolak tetapi ketika hantar tuan lauk begitu memaksa. Akhirnya kami mengalah dan inilah yang kami tanggung setiap kali.
Saya pernah menyebut dalam kuliah-kuliah saya tentang perkara ini berkali-kali. Namun ada suara-suara yang mengatakan saya sombong dan sebagainya.
Sering saya katakan kalau sayangkan pelajar tahfiz atau betul-betul mahu berkongsi makanan dengan kami, hantarlah pada waktu tengah hari ketika lauk pauk masih panas dan menyelerakan. Kalau sibuk, kami boleh datang ambil. Tetapi kalau takut makanan tidak cukup, tak perlu risaukan kami. Di madrasah pun setiap hari kami masak.
Alhamdulillah anak-anak tahfiz sentiasa cukup makan. Kadang-kadang ada juga orang yang upah katering dua tiga malam berturut-turut untuk menjamu anak-anak syurga ini. tidak kurang juga yang sering menghantar beras, minyak, telur, ayam, kambing dan macam-macam bahan mentah untuk kegunaan dapur madrasah.
Alhamdulillah ahli-ahli Quran sentiasa dijaga rezeki mereka oleh Allah. Oleh sebab itulah kami selalu mengelak lauk lebihan kenduri.
Apa pun, saya ucapkan terima kasih kerana tuan rumah masih lagi ingat kami. Walaupun di hujung-hujung hari. Kami juga mengucapkan terima kasih sebab bersusah payah menghantar lauk pauk walaupun setelah penat seharian melayan tetamu. Terima kasih sebab tidak lupakan kami.
Kami sentiasa mendoakan agar tuan-tuan dimurahkan rezeki dan diberkati. Bagi pengantin, semoga berbahagia sehingga ke akhir hayat. Aminn.
Mudir Tahfiz (tak perlulah disebut ye).
Sumber: Kasih Till Jannah