Allah SWT Terus Menetapkan Pendirian di Hati Saya Untuk Tidak Aktif Menyanyi Lagi

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

PENYANYI lagu Saya Anak Malaysia, dR Sam, 65, mengakui tidak pernah menyesal menjadi anak seni pada zaman mudanya.

Join Group Kami Sokong Ustaz Ebit Lew
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew

dR Sam atau nama sebenar, Salim Ibrahim berkata, setiap orang sudah pasti ada zaman silam dan tercari-cari hala tuju kehidupan ini.

“Begitu juga dengan saya, minat mendalam pada karier seni ketika muda dahulu memang sudah tertulis dengan izin Allah SWT.

“Jadi, saya tidak boleh menyesal dengan takdir. Apa pun yang pernah dilalui itu sudah berlalu dan menjadi sejarah hidup saya.

“Kini, saya sudah dianugerahkan kehidupan yang tenang. Jadi, selagi nyawa masih dikandung badan, saya teruskan saja beramal,” katanya.

Menurut dR Sam lagi, dia juga tidak gusar memikirkan rezeki.

Katanya, apa yang penting, seseorang perlu memperbanyak amalan kepada Allah SWT dan jangan tinggal solat lima waktu.

“Selagi melakukan perkara wajib dalam hidup ini termasuk giat berusaha mencari rezeki yang berkat, dengan izin Allah SWT ia pasti dimiliki.

“Harus diingat selalu, sentiasa bersyukur dengan nikmat diberikan Allah SWT dan teruslah berpegang teguh pada keyakinan terhadap-Nya,” katanya.

Mula menceburi karier nyanyian sekitar 1970-an, nama dan bakat dR Sam mula jadi perhatian ramai pada era 80-an.

Ternyata, penangan lagu Esok Hari Raya dan Saya Anak Malaysia dendangan dR Sam hingga kini masih diingati dan malar segar.

Sudah lebih tiga dekad tidak menyanyi, dR Sam sangat bersyukur Allah SWT menutup terus minatnya terhadap karier seni.

“Alhamdulillah, Allah SWT terus menetapkan pendirian di hati saya untuk tidak aktif menyanyi lagi. Saya juga langsung tidak merinduinya (nyanyian).

“Kini, tumpuan saya menjurus pada aktiviti keagamaan dan berdakwah hingga ke luar negara. Itu sahaja,” katanya.

Sepanjang aktif menyanyi, dR Sam pernah menghasilkan lima album edaran Polygram iaitu Abu Nawas (1983), Sayang OK (1985), Saya Anak Malaysia (1986) Semarak Merdeka (1988) dan Sinar Harapan (1990).

Add Comment