SUBHANALLAH. Kehebatan IMAN Seekor Semut Ketika Zaman Nabi Sulaiman. Ramai TERDUDUK Kagum.

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

Dulu-dulu, Nabi Sulaiman AS ada temui seekor semut di jalanan. Mereka berdua pun berbicara tentang “sesuatu”. Tak sangka ada satu rahsia yang pernah disimpan oleh seekor semut yang buat ramai umat Islam zaman sekarang ni jadi malu terduduk. Subhanallah, Allahuakbar

Join Group Koleksi Kata Hikmah
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew

KESEMPATAN yang jarang-jarang saya temui itu tidak saya lepaskan. Kuliah Maghrib di masjid kariah saya itu, saya ikuti dengan teliti. Kaedah dan bahasa yang digunakan oleh pengajarnya sangat mudah faham.

Beliau menceritakan perihal komunikasi yang pernah berlaku antara seekor semut dengan Nabi sulaiman a.s. Begini ceritanya… suatu hari Nabi sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun.

SEMUT DAN SEBUTIR GANDUM
Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebiji gandum. Lalu Nabi sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam suatu botol dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup. Cukup tempoh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi sulaiman a.s.

Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.

Nabi sulaiman a.s. bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji gandum? Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya.

Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi sulaiman a.s.) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan terjadi kepadanya?

Kisah Kehebatan Tawakal Semut Kepada Allah Di Zaman Nabi Sulaiman

LEBIH YAKIN JAMINAN ALLAH
Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah ketika di luar botol berbanding “jaminan” manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Sampai di sini, penceramah tua itu pun memberi “moral” pada ceritanya. Begini ucapnya: ”Inilah sifat tawakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari daripada semut. Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezeki. Bergantunglah kepada Allah.

“Kalau ada pihak yang berkata, saya jamin bekalan makanan atau simpanan petrol akan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun… jangan terlalu yakin.

Sebaliknya, bertawakallah kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan. Jadilah seperti semut itu.” Saya termenung panjang dalam fikir yang dalam. Walaupun pengajar kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi pengajarannya sangat luar biasa.

Bersahaja, tetapi penuh hikmah dan ibrah. Berapa kerat manusia yang benar-benar mengambil panduan daripada ajaran Islam ketika berhadapan dengan krisis dan kemelesetan ekonomi?

SYAITAN TAK REHAT SAMADA EKONOMI BAIK ATAU MELESET PUN
Ada seruan yang menganjurkan hidup berjimat ketika ekonomi meleset pada hal Islam menganjurkan jimat cermat tanpa mengira situasi dan keadaan. Orang yang membazir adalah “saudara” syaitan tidak kira sama ada semasa ekonomi meleset atau stabil, sama ada dalam keadaan harga minyak naik atau tidak.

Ada pula pihak yang mewar-warkan agar dilakukan perubahan gaya hidup dalam keadaan sekarang… Sinisnya, bukankah cara hidup orang Islam ialah cara hidup Islam, apa lagi yang hendak diubah?

Jarang-jarang benar kita mendengar tafsiran yang lebih tersirat tentang apa yang berlaku kini. Maksudnya, tafsiran yang merujuk kepada musabbabil asbab (factor penyebab) bukan hanya asbab (sebab). Ujian Mengajar Erti Kesabaran Hakikatnya, apa yang berlaku adalah dengan izin Allah jua.

ADA HIKMAH SETIAP SESUATU
Tentu ada maksud Allah izinkan semua ini berlaku. Apakah pengajaran untuk si kaya, si miskin, peniaga, pengguna, rakyat dan penguasa di tengah kemelesetan ekonomi ini? Bukankah kita telah diberi tahu oleh al-Quran dan hadis bahawa ujian daripada Allah adalah untuk meningkatkan keimanan kita?

Dan ujian juga boleh meningkatkan tahap kebijaksanaan, kesabaran dan daya kreatif kita untuk menyelesaikan masalah.

Pokok pangkalnya, adakah musibah ini menggugat keyakinan kita kepada Allah yang bersifatal-Wahhab (Maha Pemberi), al-Ghani (Maha Kaya) dan al-Razzak (Maha Pemberi Rezeki) misalnya? Bagaimana pula kita kembali kepada Allah (raja’na ilallah) dalam menghadapi ujian ini?

Adakah kita mula mendidik hati kita dengan sifat-sifat mahmudah bersumberkan akidah Islamiah? Adakah kita mula bermuhasabah tentang sistem ekonomi semasa, adakah telah benar-benar disusun mengikut syariah?

Adakah orang kaya dan pengusaha mula tergerak untuk mengamalkan akhlak yang pemurah dan zuhud? Manakala orang miskin pula dengan sifat sabar dan qanaah?

Saya tidak pandai mentafsir lebih mendalam, tetapi itulah yang “mengganggu” pemikiran dan rasa hati apabila mendengar cerita semut dan Nabi sulaiman a.s. oleh penceramah tua itu. Pada saya, pasti ada “mesej” dan “signal” daripada Allah untuk semua golongan masyarakat di sebalik ujian ini.

Mustahil Allah lakukan semua ini dengan sia-sia. Pasti ada sesuatu yang perlu diambil peringatan oleh para hamba-Nya. Sayangnya, kuliah beliau yang begitu tajam dan menyentuh didengar secara yang hambar sekali. Sidang hadirin yang kebanyaknya golongan “veteran” duduk jauh-jauh dan ramai juga yang mendengarkannya sambil lewa.

Pada hal, majlis ilmu yang sebegitu mulia (yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai “taman syurga” di dunia) sangat diperlukan oleh semua – daripada pemerintah hingga kepada rakyat jelata. Hakikatnya, tidak kira sama ada sultan, menteri, mufti, majikan, buruh dan sesiapa sahaja dapat belajar kejituan tawakal dan kegigihan ikhtiar… daripada seekor semut!

Wallahualam. Semoga Bermanfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *