Akibat jumpa bomoh yang tak sepatutnya.

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

DI SEBALIK raut wajahnya yang tenang bagaikan seorang lelaki yang tinggi ilmu agama, siapa sangka dia sebenarnya bijak memperdayakan wanita demi memenuhi kepuasan seksualnya sendiri. Dengan bermodalkan nama pengamal perubatan Islam yang mampu mengubati pelbagai penyakit, Halim, 60, meniduri pesakit-pesakit wanitanya dengan menggunakan sihir pengasih.

Join Group Koleksi Kata Hikmah
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew

Menurut salah seorang mangsa, Maria, 44, Halim yang lebih dikenali dengan panggilan Aji dalam kalangan pesakitnya itu dipercayai membacakan jampi sihir ke atas pesakit wanita ketika dia mengurut ataupun memandikan mereka. “Kejadian ini bermula apabila saya pergi berubat dengan Aji kerana saya menghidap sakit dada setelah dicadangkan oleh suami yang sememangnya mengenali bomoh tersebut.

“Bagaimanapun, pada keesokan harinya, saya secara tiba-tiba sering teringatkan wajah dan terbayangkan diri Aji,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menurutnya lagi, dia tidak ubah seperti orang yang gila bayang dan angau kerana sentiasa terfikirkan tentang bomoh yang telah tujuh tahun menduda itu.

“Hati saya berasa tidak tenteram dan secara tiba-tiba timbul satu perasaan cinta yang kuat serta berahi yang membuak-buak untuk bersama dengan Aji. “Semenjak itu, kami sering berbalas khidmat pesanan ringkas dan Aji dilihat semakin berani mengajak saya melakukan hubungan seks dengannya,” ujar Maria ketika mengimbau peristiwa itu.

Jelasnya, hari demi hari hubungan mereka semakin intim sehinggalah Maria dengan rela hati menyerahkan tubuhnya kepada Aji. Bagaimanapun, rahsia Maria terbongkar apabila adik iparnya yang juga rakan kepada Aji memberitahu suaminya tentang perbuatan terkutuk yang dilakukan Maria.

“Aji sendiri menceritakan tentang perkara ini kepada adik ipar saya memandangkan hubungan mereka agak baik. “Mujurlah, suami dan anak-anak mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya dan mereka bertindak pantas dengan membawa saya berubat dengan seorang pengamal perubatan Islam terkemuka,” ujarnya.

Tambah Maria, dia bersyukur kerana keadaannya semakin pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Gombak, Selangor. “Secara beransur-ansur, perasaan sayang saya kepada Aji mulai berkurangan hingga saya dapat melupakannya,” katanya yang tinggal berhampiran dengan rumah Aji.

Menurut Maria lagi, ketika hubungan terlarang itu berlaku dia sebenarnya berada dalam keadaan tidak sedar dipercayai akibat disihir oleh bomoh tersebut yang semata-mata mahu memuaskan nafsunya. “Sejujurnya, saya langsung tiada niat untuk bermain kayu tiga dengan suami kerana segala yang berlaku antara saya dan Aji bukan atas kerelaan saya.

“Saya takut untuk membuat laporan polis kerana kekurangan bukti selain tidak mahu maruah keluarga tercalar,” ujarnya. Sementara itu, adik ipar Maria, Rosli, 39, mendedahkan, bomoh tersebut pernah memberitahunya bahawa dia mampu membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta kepadanya sebelum meniduri wanita itu.

“Saya pernah bertanyakan rahsia yang digunakan olehnya untuk memikat wanita, namun dia tidak mahu berkongsi dengan saya,” jelas Rosli yang juga merupakan rakan kepada bomoh tersebut. Difahamkan, sebelum ini Aji berpisah dengan bekas isterinya setelah lelaki itu ditangkap berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pesakit wanita di rumah mereka.

“Tidak kiralah sama ada yang datang berubat itu anak dara, sudah berumah tangga mahupun janda, mereka pasti akan menjadi mangsa Aji,” dakwa Rosli. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Kosmo! Ahad berkata, perbuatan bomoh yang memukau mangsa sehingga melakukan hubungan seks dengan mangsa boleh didakwa di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol.

MARIA mendakwa dia seperti tidak sedarkan diri semasa menjalinkan hubungan terlarang dengan bomoh Aji.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh disebat. “Dalam hal ini, mangsa dinasihatkan tampil membuat laporan polis dengan segera bagi memudahkan pihak polis mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai kaedah rawatan yang digunakan oleh Aji, wartawan Kosmo! Ahad bertindak melakukan penyamaran dan berjumpa dengan bomoh tersebut baru-baru ini. Hanya dengan satu panggilan telefon, penulis menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Aji di rumahnya pada sebelah malam kononnya untuk mengadu tentang masalah rumah tangga penulis yang diganggu pihak ketiga.

“Boleh sahaja datang ke rumah saya pada malam ini,” suara Aji bersahaja dan tenang di hujung talian telefon. Berseri-seri Benarlah kata Maria, wajah Aji kelihatan berseri-seri seperti tidak dimamah usia. Wajahnya berbeza sekali daripada wajahnya yang penulis lihat dalam sekeping gambar yang tunjukkan Maria kepada penulis.

Bau minyak gamat menusuk rongga hidung sebaik sahaja penulis melangkah masuk ke dalam rumah pangsapuri yang sederhana besar itu. “Saya baru lepas mengurut seorang pesakit yang datang dari Pahang tadi,” beritahu Aji yang bagaikan dapat membaca fikiran penulis.

Aji tinggal sendirian di rumah itu. Sekali pandang, tiada apa yang pelik di situ. Aji pula mengenakan baju Melayu berserta kain pelikat dan kopiah putih di atas kepala. Dia kelihatan seperti seorang pengamal perubatan Islam yang tulen. Setelah memperkenalkan diri, penulis yang datang bersama seorang rakan mula berlakon dan memberitahu masalah yang dihadapi.

“Kamu perlu datang semula dengan membawa tiga biji buah limau, sebotol air kolah masjid dan akar sintok untuk upacara memandikan kamu bagi membuang sihir yang telah dikenakan ke atas kamu,” ujar Aji pantas selepas mendengar penjelasan penulis. Ketika ditanya mengenai bacaan yang boleh diamalkan bagi mengelakkan suami daripada mendampingi wanita lain, Aji membacakan sepotong ayat yang tidak terdapat dalam al-Quran serta diragui maksudnya.

Dia turut mengarahkan penulis supaya sentiasa membawa paku yang diletakkan di dalam lipatan kain kuning ke mana-mana sahaja bagi menggagalkan sihir yang dikenakan ke atas penulis. “Amalkan segala petua yang saya beritahu. Jangan lupa datang semula seorang diri untuk upacara mandi supaya rawatannya berkesan,” pesan Aji. Lelaki ini seperti sangat berharap penulis akan datang bertemunya lagi secara bersendirian.

Ketika disoal mengenai rawatan untuk penyakit lain, Aji memberitahu yang dia boleh mengubati apa sahaja penyakit sama ada secara zahir mahupun batin. “Saya hanya mampu berusaha, namun dengan izin Allah sahaja semua penyakit tersebut akan sembuh,” ujar Aji yang bibirnya tidak terlepas daripada menyebut kalimah suci Allah.

Sumber : http://kuasaviral.com/2018/06/08/kena-ubat-guna-guna-tiba-tiba-timbul-rasa-berahi-ingin-bersama-bomoh-aji-bila-balik-berubat-je-terus-teringat-dekat-aji/

Setelah hampir sejam berbual, penulis meminta diri untuk pulang sambil dihantar oleh bomoh itu sehingga ke muka pintu. Riak wajahnya seperti menaruh harapan agar satu lagi mangsa baharu bakal masuk perangkap.

http://aiskacang.pw

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *