Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Allah cetuskan satu isu bukan secara kebetulan tetapi dengan tujuan. Apakah tujuan isu itu?
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew
1. Supaya umat Islam dapat membezakan antara bertudung dengan menutup aurat.
Menutup aurat itu syariat tetapi bertudung itu fesyen daripada manusia. Bertudung tidak semestinya menutup aurat.
Menutup aurat itu ialah dengan menutup dada, punggung, bawah dagu dan segala lekuk serta bentuk pada tubuh dengan kain yang tebal bukan yang kain tipis dan berbayang.
Jauh bezanya wanita yang menutup aurat kerana Allah dengan yang bertudung kerana mengharap perhatian manusia.
2. Berada di tempat yang sinonim dengan arak dan pergaulan bebas bagi tujuan dakwah tidak salah dengan syarat tetap menjaga niat, syariat dan akhlak.
Sebaliknya, jika syariat dilanggar dan nilai akhlak tercemar, berada di tempat sebegitu ialah suatu yang mungkar dan mengundang fitnah.
Bukan soal kita berada di mana, itu bukan persoalannya. Tetapi yang penting ialah apa yang kita lakukan ketika kita berada di situ.
Berada di kelab malam untuk berdakwah itu baik, tetapi walaupun berada di masjid untuk mencuri adalah tidak baik.
Di tempat yang buruk, jadilah seperti ikan…walaupun dikelilingi laut yang masin, isi ikan tidak masin. Jangan jadi seperti sesumpah yang mengubah warna setiap kali berubahnya suasana.
3. Promosi untuk perniagaan tidak salah, kerana perniagaan sangat digalakkan dalam Islam. Tetapi promosi jangan sampai melanggar syariat dan akhlak, itu dilarang oleh Islam. Niat tidak menghalalkan cara.
Walaupun mungkin kaedah itu publisiti yang unik dan bakal melariskan jualan produk tetapi apa gunanya semua itu jika Allah tidak redha dan tercabut keberkatan perniagaan.
Kita dambakan kualiti rezeki bukan semata-mata kuantitinya. Sedikit yang mengingatkan lebih baik daripada banyak yang melalaikan.
4. Orang yang memfitnah salah tetapi orang yang mengundang fitnah juga bersalah.
Justeru, Rasulullah SAW sentiasa menutup ruang untuk difitnah walaupun apa yang baginda lakukan sentiasa benar di sisi Allah.
Rasulullah SAW bukan sahaja menjaga ‘kata-kata’ Allah tetapi baginda juga berjaga-jaga dengan kata-kata manusia.
Jangan sampai kita berdosa dengan Allah dengan memfitnah orang. Dan jangan sampai orang lain berdosa kerana kita membuka ruang dosa untuk mereka kerana memfitnah kita.
5. Pesan memesan dengan kebenaran dan kesabaran itu adalah firman Allah yang perlu dilaksanakan oleh manusia.
Justeru, wajib kita ambil berat kata-kata orang selagi ia selaras dengan kehendak Allah.
Yang unik, gimik dan luar biasa memang memberi publisiti dan bagus untuk promosi….tetapi sekiranya telah melanggar syariat dan akhlak, itu tidak bernilai sedebu pun di sisi Allah.
Dan jika kita terus tega dan degil melakukannya, bukankah itu menunjukkan kitalah yang sangat mementingkan ‘apa orang lain kata’ berbanding dengan ‘apa yang Allah kata’?
6. Jika semua itu kerana kejahilan marilah sama-sama kita belajar dan menambah ilmu..
Jika semua itu kerana kedegilan, marilah sama-sama kita istighfar dan bertaubat kepada Allah.
7. Yang kita kejar ialah kaya jiwa berbanding kaya harta… namun jika diberi kaya jiwa dan kaya harta itulah yang terbaik untuk kita.
Kaya jiwa itu ketenangan. Kaya harta itu kesenangan. Jangan sekali-kali cuba membeli ketenangan dengan kesenangan. Kita tidak akan mampu. Kita akan tertipu!
Sumber : FB Ust. Pahrol Mohamad Juoi