“Mahal la baju tu. RM150 sepasang. Pilih yang RM50 sudahlah!”
Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Keras seorang lelaki meninggikan suara pada isterinya yang meminta beli sepasang baju kurung untuk raya.
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew
Si isteri patuh. Menunduk malu pada mata-mata yang memandang. Walau dihati berkenan, namun suami tidak izinkan.
*******
Jam empat pagi, lampu dapur dibuka. Sebatang tubuh halus mula memegang senduk dan kuali. Berperang dia dengan bawang dan api.
Tengah goreng ikan, si kecil menangis. Api diperlahankan, berlari dia ke bilik bersama botol susu pula. Sempat didodoikan seketika sebelum kembali beraksi didapur semula.
Jam lima pagi, dia mula kejut anak-anak yang mula belajar berpuasa. Akhir sekali baru sang suami yang berdengkur tak henti-henti.
Tabah dia memujuk anak, gigih dia mengejut si bapak.
Makanan panas tersedia. Nasi pula disenduknya. Air pun masih berasap. Maka makanlah mereka sekeluarga sebagai bekal untuk terus kekal bertenaga.
Usai sahur, suami ke beranda cucuh rokok main telefon sementara tunggu waktu subuh.
Dia pula mengemas pinggan mangkuk, basuh mana yang patut.
Azan berbunyi, bergegas dia kejutkan anak-anak bangkit solat. Itu kewajipan, wajib atas si si ibu dan bapa mendidik anak supaya sentiasa patuh suruhan Tuhan.
Suami kembali berdengkur, dan dia mengutip pula kain baju. Basuh dan jemur. Dalam bakul, banyak kain belum berlipat. Luang masa pula lipat mana yang sempat.
Jam 9 pagi, matanya tak mampu tahan lagi. Maka direbahkan badan, ingin rehat sekejap. Baru sahaja terlena, anak kecil bangun menggongcangkan badan.
Pampers sudah penuh, perut si anak lapar. Bangunlah perempuan ini tunaikan kewajipan. Walau masih penat dan mengantuk, dia terpaksa tahan.
Tengahari, mop lantai pula. Kejut suami solat Zuhur dan ajak ke pasar untuk beli barang mentah. Pulangnya dari pasar, urus anak lagi. Kemudian berperang pula di dapur untuk siapkan juadah berbuka.
Lepas Maghrib, dikala anak-anak bermain di ruang tamu dan suami ralit tengok berita, tugasnya belum habis di dapur.
Habis tugas di dapur, tugas menguruskan anak-anak pula menanti. Kemudian kemas rumah lagi, lipat pula baju yang masih berbaki. Lewat malam, baru badan dapat direbahkan.
Jam empat pagi, rutinnya kembali.
Hebat seorang perempuan bergelar isteri dan ibu ini. Hebat sekali.
Maka jika setahun sekali si isteri minta beli persalinan yang elok, cubalah tunaikan wahai suami.
Bukan dia minta hari-hari. Hanya untuk hari istimewa sahaja. Jika setahun sekali pun berkira, apa lagi nak dikata.
Tidak terbayang segala pengorbanan. Tidak terungkap segala lelah penat. Tidak tertulis segala jasa dan bakti mereka.
Cubalah raikan mereka sekali sekala. Jika tidak mampu, usah malukan mereka dikhalayak ramai. Cakap elok-elok, bisik perlahan-lahan.
Bacalah tulisan aku ini dengan mata hati. Kemudian cubalah untuk mengerti.
#MFS
– Satu kisah di suatu malam bulan Ramadan –
Sumber : Mohd Fadli Saleh
.
Isteri Dah Tak Cantik, Makin Selekeh, Mula Menjerit-Jerit, Asyik Marah-Marah – Ini Nasihat ‘Penting’ Ustaz Ebit Lew Buat Sang Suami
Maafkanlah isterimu dan fahamilah mereka jika mereka sudah tidak cantik, selekeh, mula menjerit, asyik marah-marah, selalu mengadu sakit-sakit, layanan mereka tidak sempurna.
Seorang suami mengadu keadaan isterinya yang begitu. Jawab saya cuba kita uruskan anak-anak seminggu seorang diri. Hanya Allah yang tahu bagaimana rupa dan sifat kita agaknya..
Mereka jadi begitu sebab kerja mereka tiada cuti. 24jam sehari. Termasuk isteri yang bekerja. Tidur mereka tidak pernah sempurna. Makan mereka tak sempurna. Terutama ibu-ibu muda yang anak-anak masih kecil. Mereka turut mencari rezeki buat keluarga.
Mereka tiada sesiapa lagi dalam hidup melainkan suami. Jika berjaya rumahtangga orang kata untung awak dapat suami baik. Jika gagal ibuayah marah anak perempuan sendiri tak pandai jaga suami.
Dari awal pagi kemas rumah. Siapkan suami dan anak-anak. Belikan atau sediakan sarapan. Uruskan anak-anak ke sekolah dan hantar ke taska. Dengan pelbagai kerenah anak dan suami.
Balik kerja segera cepat-cepat balik rumah. Siapkan makan minum suami dan anak-anak. Rumah kembali bersepah. Kemas rumah lagi. Duit gaji baru dapat belikan barang-barang dapur sementara tunggu duit suami. Mandikan dan bantu anak-anak buat kerja sekolah.
Bila suami balik, kadang-kadang anak seorang lepas berak. Seorang bergaduh dari tadi. Tinggi suara. Terus cakap dengan suami dengan muka masam kerana anak-anak. Banyak nak cerita, kerana ini teman hidup dan mati. Tersilap mula ayat atau nada. Tak sempat cantik-cantik. Tak pasal-pasal suami terasa dan marah juga kerana penat. Suami terus naik tidur atau tengok tv atau keluar rumah.
Isteri rasa sedih dan bersalah. Menangis dan menangis. Kadang-kadang tengok gambar kenangan dengan suami. Buka ceramah agama atau kata-kata motivasi untuk pulihkan semangat. Terus bersemangat dan berdoa. Meneruskan urusan rumahtangga kerana Allah dan suami. Terus berlari siap-siap nak layan suami.
Tiba-tiba anak-anak menangis, tak mahu tidur. Seorang lagi masa nak tidur nak makan dan berak lagi. Anak kecil asyik menangis. Suami pun sangat penat di tempat kerja harapkan dapat bermanja dan bergurau dengan isteri. Kadang-kadang tidur dengan marah..
Isteri sepanjang malam rasa bersalah…itulah seorang isteri dalam merajuk dan sedih tidak dapat rehat dan terus menerus uruskan rumahtangga sehingga habis usia. Sampai 40 tahun. Tapi mereka ikhlas kerana Allah. Itulah ibu kita dan ibu anak-anak kita..
“Khadijah ra tidak pernah mengeluh sepanjang hidup beliau. Itulah wanita yang sentiasa manis mukanya walau segalanya telah dikorbankan demi agama..” Saya selalu minta isteri saya berdoa agar bertemu dengan wanita ini dalam syurga nanti..
Sebab tu kita lihat ayah-ayah kita semuanya selalu cool jer..tak kisah mak membebel. Sebab mereka tahu susah isterinya..fahami isterinya.
Sayangilah isteri kita. Maafkanlah mereka. Bantulah mereka di dalam rumah. Bersama-sama buat kerja rumah. Bantulah sikit-sikit. Jika kita nampak orang angkat barang banyak sebagai manusia kita akan tolong. Kita tengok kerja orang berat kita malu rasa nak duduk. Sekali sekala bawalah isteri bercuti dan rehatkanlah mereka. Beri cuti. Layan mereka seperti permaisuri sekali sekala. Mereka tiada gaji. Hanya kerana amanah mereka sebagai seorang isteri dan ibu.
Jadilah pendengar setia dan penyayang. Mereka bukan milik kita tetapi amanah Allah untuk kita pimpin masuk syurga..duduk rehat-rehat bersama baca Al-Quran, solat tahajud,doa, baca hadis Nabi saw. Mereka bukan tukang masak. Bukan bukan bibik. Mereka hamba Allah dan Umat Nabi saw. Bertanggungjawab hidupkan Islam dan menuntut ilmu serta berkhidmat buat keluarga.
Itulah kehidupan rumahtangga saling memerlukan dan melengkapi. Kesucian hati seorang isteri dan ibu hanya menjadikan merekalah orang paling bahagia dunia dan akhirat. Ya Allah bahagiakanlah hati ibu dan isteri di luar sana. Ampunkan segala dosa mereka dan beri mereka syurga yang tinggi. Saya sayang ibu dan isteri saya kerana Allah.
Sumber : Ebit Lew via The Reporter