Hukum undi calon PRU bukan islam.Tak sangka ini penjelasan yang mengejutkan.

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

Bahang pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin terasa. Tarikh PRU kali ini telah diistiharkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu pada 9 Mei 2018. Calon-calon PRU terdiri daripada berbilang bangsa dan agama yang terdapat di Malaysia. Namun terdapat persoalan yang timbul apabila terdapat pihak yang mengatakan sebagai umat Islam,kita tidak boleh mengundi calon-calon yang bukan beragama Islam dikhuatiri akan menggugat agam Islam di dalam negara kita. Namun sejauh manakah hujah-hujah tersebut boleh diterima. Berikut adalah ringkasan yang disediakan oleh Harian Metro berkenaan penjelasan daripada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri mengenai isu ini.

Join Group Koleksi Kata Hikmah
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew

Harus pilih calon bukan Islam selagi tak musuhi agama
HUKUM mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus selagi tidak mengancam Islam dan penganutnya.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, hasil penelitian terhadap ayat al-Quran dan pandangan pelbagai ulama tersohor, tiada dalil muktamad yang melarang mengundi calon bukan Islam.

 

Katanya, ayat al-Quran yang dijadikan hujah oleh ulama untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya.

“Hukum asal mengundi orang bukan Islam dalam pilihan raya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus, kecuali apabila terdapat sifat mendatang seperti memberi ancaman kepada kemuliaan Islam, tiada sifat amanah dan tiada kepakaran dalam melaksanakan tugas.

“Bagi golongan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan itu tidak terpakai,” katanya dalam catatan terbaru di laman Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, semua faktor itu haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara adalah kekal disandang oleh orang Islam yang berkelayakan sahaja.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, tidak dinafikan majoriti ulama silam mengharamkan pelantikan bukan muslim sebagai pemimpin dan keharusan hanya diberikan apabila terdapatnya darurat.

Beliau berkata, Al-Qadhi Iyadh dalam kitabnya Syarh Shahih Muslim, Ibnu Munzir (Ahkam Ahl al-Dzimmah) dan Ibnu Hazm (Maratib al-Ijma’) misalnya, sepakat bahawa kepemimpinan tidak boleh diserahkan kepada orang kafir berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 28.

“Al-Jassas sewaktu menafsirkan ayat 28 Surah Ali Imran berpendapat ia menjadi dalil pengharaman meminta bantuan bukan muslim dan mempercayai mereka dan mereka tidak berhak memperoleh kekuasaan (wilayah) ke atas orang muslim,” katanya.

Zulkifli berkata, ulama seperti Ibnu Hajar al-Haitami, Imam ar-Ramli dan Imam Khatib as-Syarbini pula berpandangan harus melantik bukan muslim untuk suatu jawatan jika adanya maslahah padanya, jawatan itu tidak mampu dipikul mana-mana orang Islam atau orang Islam mempunyai sifat khianat.

Katanya, beberapa ulama Kontemporari termasuk Dr Yusuf al-Qaradhawi senada mengenai keharusan melantik bukan muslim sebagai pemimpin.

“Dr Yusuf berpandangan bukan Muslim mempunyai hak untuk menjawat jawatan negara kecuali jawatan lebih dominan unsur keagamaan seperti ketua negara, panglima tentera, penghakiman antara orang Islam dan pengurusan zakat.

“Jawatan lain harus bukan Muslim menjawatnya jika syarat cekap, amanah dan kesetiaan kepada negara dipenuhi. Bahkan beliau turut berpandangan tiada masalah untuk melantik bukan Muslim sebagai timbalan Presiden sesebuah negara, khasnya jika bukan Muslim membentuk jumlah komposisi penduduk yang besar, seperti Sudan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berpendapat hukum mengundi bukan Muslim dalam pilihan raya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus berdasarkan faktor wakil rakyat bukan ketua atau imam; wakil rakyat tidak berkuasa menentukan dasar secara sendirian; kontrak sosial muslim dan bukan muslim serta budaya masyarakat Malaysia dalam sebuah negara demokratik.

Berikut adalah catatan asal oleh Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri menerusi laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *