Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Sebagai manusia biasa, pernah satu ketika saya merasakan rezeki saya terlalu sukar dan sempit. Saya sudah berusaha keras dan kuat, tetapi rasanya masih belum cukup.
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew
Setelah mencari panduan, amalan dan solusi bagi permasalahan ini, akhirnya saya menemui sesuatu yang boleh menenangkan hati saya.
Rupanya, rezeki ini sifatnya adalah terlalu luas. Ia bukan berkisar mengenai wang ringgit semata-mata. Kita lupa bahawa banyak sekali perkara yang kita ada pada hari ini dari segi kesihatan, keluarga, pekerjaan, ilmu dan sebagainya juga adalah rezeki.
Setelah menyedari hakikat ini, hati kita akan lebih tenang di dalam mengharungi kehidupan seharian. Pun begitu, terdapat amalan-amalan yang diajarkan menerusi al-Quran dan hadis agar rezeki kita dipermudahkan dan digandakan oleh Tuhan.
#1 – Bersyukur Dan Ucaplah Alhamdulillah!
Perkara pertama yang kita perlu lakukan ialah bersyukur. Resapi dan hayati makna syukur, basahkan lidah anda dengan kalimah ‘Alhamdulillah’, Insyallah Tuhan akan gandakan rezeki anda serta-merta. Analoginya seperti kita membeli sekilo gula dengan harga sekian, tetapi tuan kedai memberikan anda dua kilo.
Bersyukur bukan sekadar apabila kita mendapat sesuatu nikmat gembira, tetapi bersyukurlah di dalam apa jua keadaan.
Orang-orang yang soleh sentiasa bersyukur walaupun diuji kerana mereka sedar bersyukur adalah kunci untuk Tuhan menggandakan rezeki. Bertepatan di dalam firman Tuhan di dalam surah Ibrahim:
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu ingkar (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku amat pedih.”Surah Ibrahim 14:7
Tetapi perhatikan jika kita tidak mahu bersyukur, Tuhan akan menimpakan azab kepada kita. Mungkin kesempitan dan kesusahan hidup yang kita rasa di dalam dada kita juga salah satu dari azab Tuhan!
#2 – Banyakkan Bersedekah
Secara logiknya, apabila kita banyak mengeluarkan duit, maka simpanan kita akan semakin berkurang. Jika kita sedang susah, fikiran logiknya bersedekah akan membuatkan kita lebih susah. Tetapi ajaran Islam sedikit berbeza berbanding apa yang diajarkan oleh sesetengah kapitalis barat.
Islam mengajarkan untuk kita banyakkan bersedekah. Semakin banyak bersedekah, ia tidak sesekali mengurangkan harta kita, malah semakin Tuhan akan gandakan rezeki kita. Seperti firman Allah S.W.T berbunyi;
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”.Surah Saba’ 34:39
Jangan tunggu kaya untuk bersedekah. Lihat sahaja para sahabat baginda menjadikan sedekah sebahagian dari hidup mereka. Mereka sedar dengan bersedekah tidak sesekali akan mengurangi harta mereka, malah ia akan membuatkan harta mereka semakin bertambah.
#3 – Sentiasa Memohon Ampun, Istighfar!
Ungkapan istighfar bermaksud kita memohon pengampunan dari Tuhan. Nabi Muhammad S.A.W yang tidak mempunyai sebarang dosa juga sentiasa melazimi istighfar setiap hari. Ia adalah satu amalan yang sangat ajaib. Jika dilafazkan dengan penuh ikhlas dan berserah diri kepada Tuhan, banyak keajaiban di dalam hidup akan kita temui.
Istighfar juga mampu menenangkan hati kita, mengeluarkan kita dari kesusahan dan kesedihan. Di dalam Surah Nuh ayat 10 sehingga 12, Tuhan telah menjanjikan untuk menambah nikmat dan kekayaan bagi mereka yang melazimi istighfar. Firman tersebut berbunyi;
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).Surah Nuh 71:10-12
Mudah-mudahan dengan kalimah ini, ia akan mendekatkan lagi diri kita dengan Tuhan. Insyallah apabila dosa-dosa kita diampunkan, Tuhan akan makin sayang dan mempermudahkan segala urusan kita.
Anda sukakan ini
- BaCaLaH DoA InI KeTiKa SuJud TeRaKhIr DaLaM SoLaT, KeLeBiHaNYa SanGaT LuAR BiAsA.
- 7 Doa Pendek Yang Dapat Menghilangkan Stres, Sedih, Dan Gelisah
- Empat Penyakit Yang Boleh Membunuh Akibat Daripada Suka Tidur Lewat
#4 – Menjaga Hubungan Dengan Ibu Bapa Dan Ahli Keluarga
Menghubungkan silaturahim juga bermaksud berbuat baik dengan ahli keluarga. Adalah tidak wajar apabila kita sangat baik dengan orang lain yang bukan dari kalangan dari ahli keluarga, tetapi bersengketa dengan ahli keluarga sendiri. Persengketaan dengan ahli keluarga akan menyebabkan kehidupan dan rezeki anda sempit.
Daripada Anas R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda;
“Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim”.Kitab Riyadh as-Solihin
Di dalam bab bersedekah Rasulullah S.A.W sendiri menggalakkan kita bersedekah kepada ahli keluarga terdekat terlebih dahulu sebelum membantu orang lain. Dengan berbuat demikian, kita akan mendapat dua pahala iaitu pahala menghubungkan silaturahim dan pahala bersedekah.
Hubungan silaturahim yang paling perlu dijaga ialah hubungan kita dengan kedua ibu bapa. Tidak akan menemui kesenangan bagi anak-anak yang derhaka terhadap kedua ibu bapa mereka. Apabila hubungan kita dengan ahli keluarga semakin baik, Insyallah Tuhan akan mempermudahkan rezeki kita.
#5 – Lakukan Perkara Baik, Tinggalkan Perkara Buruk!
Kita adalah hamba kepada Tuhan yang Maha Esa. Apabila kita melakukan apa yang Dia suruh dan tinggalkan apa yang Dia larang, Insyallah akan dicukupkan segala keperluan kita.
Sepertimana jika kita seorang majikan, pastinya kita tidak teragak-agak untuk memberi bonus kepada para pekerja kita yang bagus dan komited di dalam bekerja.
Tuhan telah berfirman dengan jelas mengenai perkara ini;
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan Mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.”Surah At-Thalaq 65:2-3
Mulai hari ini, kita perlu berazam untuk meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh Tuhan dan mula menggantikan amalan-amalan tersebut dengan perkara-perkara yang disukai oleh-Nya.
Insyallah kehidupan kita akan berubah, dari sempit menjadi luas seluas-luasnya. Apatah lagi jika kita terpaksa melakukan perkara haram untuk meraih rezeki, jangan takut untuk beralih kepada sumber rezeki yang halal. Ingatlah bahawa Dia yang memberikan rezeki.
#6 – Berserahlah Kepada Tuhan
Ramai dari kita gemar berserah sebelum berusaha. Namun, ada juga yang hanya tekun berusaha tanpa dihadirkan unsur berserah kepada Tuhan. Akhirnya mereka beranggapan segala apa yang diperolehi adalah hasil titik peluhnya semata-mata.
Sedangkan dengan berserah itu, ia akan menzahirkan sifat seorang hamba. Tuhan amat suka jika kita memiliki sifat ‘tawakkal’ ini. Bertepatan dengan sabda baginda Rasulullah S.A.W;
Jika kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenarnya, nescaya Dia akan memberi rezeki kepada kalian sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung, ia berangkat di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang.Hadis Riwayat At-Tirmidzi
Namun, perlu diingatI bahawa sebelum berserah dan bertawakal kepada Tuhan, kita perlu hadirkan usaha yang bersungguh-sungguh terlebih dahulu. Sepertimana baginda Rasulullah S.A.W pernah menegur seorang sahabat yang kehilangan untanya agar mengikat terlebih dahulu unta sebelum berserah kepada Tuhan.
#7 – Berdoalah Kepada Tuhan
Doa adalah senjata orang Mukmin. Apabila berdoa, Tuhan pasti akan menjawabnya cuma kita tidak tahu dari segi masa dan bagaimana bentuk doa kita akan dikabulkan. Namun, ada satu doa yang Rasulullah S.A.W ajarkan kepada seorang sahabat baginda yang dibelenggu hutang. Doanya berbunyi,
Ya Allah, aku berlindung dengan Mu daripada dukacita dan rasa sedih, aku berlindung dengan Mu daripada lemah dan malas, aku berlindung dengan Mu daripada sifat pengecut dan bakhil, aku berlindung dengan Mu daripada bebanan hutang dan penindadasan orang.
Baginda menyarankan sahabatnya membaca doa ini pagi dan petang, kemudian pergilah bekerja mencari rezeki. Insyallah Tuhan akan mempermudahkan urusan dan membuka jalan untuk menyelesaikan hutang tersebut.
Jika diperhatikan dari doa ini, Islam mengajar kita agar mengubah diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengubah realiti.
Apabila sahabat baginda dibelenggu hutang, Rasulullah S.A.W tidak mengajarkan doa agar meminta 10,000 dinar daripada Tuhan. Sebaliknya, baginda mengajar satu doa agar memperbaiki diri agar menjadi lebih baik.
Kata Buya Hamka;
doa ini mampu mengembalikan modal diri yang tinggi. Tanpa keberanian, hilanglah separuh modal hidup!
Kesimpulan
Akhir kata, semoga amalan-amalan di atas dapat kita semua praktiskan di dalam kehidupan seharian. Insyallah mudah-mudahan Tuhan akan mula menghadirkan sinar harapan, membuka jalan dan meluaskan rezeki kita semua. Sebagai penutup, saya teringat satu komentar Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri mengenai rezeki;
Rezeki ini sesuatu yang ajaib dan rahsia Tuhan. Dua orang nelayan, pergi ke laut untuk menangkap ikan. Perahu yang sama, jala yang sama dan laut juga yang sama. Teknik tebaran jala yang sama, tetapi ajaibnya hasil tangkapan ikan berbeza-beza.
(Sumber: Tazkirah.net oleh Tim Tazkirah)