Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
Penghujung zaman luar biasa,
Penuh dengan tipu daya
Kita hamba kepada Yang Esa
Mengharap dari-Nya sinar cahaya
Agar terhindar dari binasa
Dan fitnah dunia yang maha bahaya
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew
Sebagai umat baginda Nabi Muhamad SAW hidup kita di akhir zaman kini dipenuhi dengan pelbagai dugaan dan cabaran.
Ia hadir dalam pelbagai bentuk sama ada kesenangan atau kesusahan, kelapangan atau kesempitan, kecantikan atau keburukan.
Sedar atau tidak kita diuji dari segenap penjuru dalam menuju ke alam pengabdian yang nyata iaitu akhirat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Surah al-Ankabut: 2
Namun semua hal tersebut bukanlah sebagai alasan untuk kita terus leka dalam urusan dunia ini. Terdapat petikan ceramah seorang ustaz yang masih saya ingati hingga kini iaitu kata beliau;
“Hati manusia akan mati jika tidak mendengar tazkirah melebihi tiga hari”
‘Mati’ di sini bermaksud terus lalai dan leka. Lebih malang jika kita sendiri tidak menyedari bahawa kita sedang berada di dalam fasa kelalaian.
Maka lazimilah hari-hari yang anda dengan melakukan perkara walau sebesar hama yang bertujuan mendekatkan, dan mengingatkan diri dan hati kepada Allah SWT.
Oleh itu, penulisan artikel ini juga bertujuan mengajak para pembaca menjadikan beberapa perkara sebagai rutin dengan harapan ia akan menjadi kebiasaan yang tidak dilupakan, iaitu hafalan 3 surah yang memberikan fadhilat besar kepada kita.
#1 – Surah Kekayaan
Saya pasti ramai pembaca yang tahu akan sebuah surah yang apabila diamalkan secara berterusan akan menghilangkan kemiskinan di dunia dan mendapat manfaat di akhirat, iaitu surah Al-Waqiah. Surah ke 56 di dalam Al –Quran ini mempunyai sebanyak 96 ayat.
Jika dilihat dari segi bilangan ia diakui agak banyak, namun sekiranya anda semua membacanya ternyata kebanyakan ayat di dalam surah ini pendek dan ringkas.
Ini akan memudahkan kita untuk menghafalnya secara berperingkat-peringkat. Menurut Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam, ia tidak akan ditimpa kemiskinan selama-lamanya.”
Berdasarkan hadis di atas, surah ini sebagai salah satu punca kekayaan yang kita mahukan bukan sahaja di dunia, malah akhirat.
Tafsiran ayat di dalam surah ini menceritakan mengenai keindahan yang ada di dalam syurga sebagai ganjaran kepada mereka yang mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.
Kekayaan yang dimaksudkan tidak hanya tertumpu kepada harta benda sahaja. Kesihatan, kelapangan dada dalam menghadapi masalah, usia, kegembiraan dan ketaatan dalam agama juga saya kira sebagai kekayaan kepada kita.
Malah bebas dari pelbagai jenis hutang juga dikira sebagai kekayaan. Kita kini berada di masa sara hidup semakin meningkat dan keperluan semakin bertambah.
Oleh itu tidak hairan jika ada dalam kalangan kita yang melakukan dua hingga tiga pekerjaan dalam satu masa.
Di sebalik kekalutan dalam menghadapi berbagai dugaan dan cabaran di dalam hidup, mudah jika kita mengamalkan surah ini secara berterusan.
Berniatlah agar sentiasa dipermudahkan urusan dan berlapang dada apabila diuji.
#2 – Surah Perlindung Fitnah
Saya yakin pembaca kebanyakannya menyedari bahawa kita sebagai umat Islam juga adalah umat terakhir.
Oleh itu kita juga berada dalam fasa akhir zaman iaitu zaman di mana bumi menuju ke usia tuanya yang sangat hampir.
Sebelum tibanya kiamat, kita akan diuji dengan kedatangan Dajjal Al-Masihi. Oleh itu surah yang paling sinonim dengan akhir zaman dan Dajjal adalah Al-Kahfi yang bermaksud gua.
Kelebihan mengamalkan 10 ayat pertama atau 10 ayat terakhir adalah mengelakkan kita dari terpengaruh dengan ujian dan godaan yang maha hebat di waktu itu.
Ianya dipanggil fitnah akhir zaman di mana kerosakan yang berlaku di muka bumi tidak dapat digambarkan. Daripada Al-Bara bin ‘Azib RA berkata yang bermaksud;
“Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi dan disisinya seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali, kemudian dia nampak awan menaunginya, dan awan itu juga menaungi kudanya, tetapi kudanya lari daripada lindungan awan itu. Keesokannya lelaki itu pergi berjumpa dengan Nabi SAW lalu menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya”, Baginda pun bersabda, “Perkara yang berlaku kepada engkau itu adalah al-Sakinah (ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat) yang turun untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Qur’an”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Huraian Hadith: Pertama, para malaikat akan turun daripada langit untuk mendengar ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca oleh setiap orang Islam yang bertaqwa.
Kedua adalah terdapat keramat atau perkara luar biasa boleh berlaku kepada hamba-hamba yang soleh sebagai penghormatan bagi mereka
Hadis di atas membuktikan bahawa kekuasaan Allah meliputi setiap perkara yang kita lakukan terutama kebaikkan.
Oleh itu masih belum terlambat sekiranya kita mulakan dari saat ini dengan menghafal 3 ayat pertama Al-Kahfi pada setiap subuh agar ia mampu menjadi rutin hingga ayat ke 10.
Kelebihan lain adalah apabila dibaca dengan lengkap surah tersebut, maka dosa-dosa kecil kita akan diampunkan antara dua Jumaat dan insha Allah diberkati segala urusan apabila diniatkan ibadat ini kerana Allah dan dalam mencari rahmat-Nya.
#3 – Surah Menjauhi Seksaan Kubur
Surah terakhir yang wajar kita hafal adalah surah yang melindungi kita daripada seksaan kubur malah menerangi kita kelak iaitu surah Al-Mulk.
Saya mempunyai seorang teman yang menghafal surah ini dan menjadikannya kebiasaan untuk dibaca sebelum tidur. Menurutnya surah tersebut dihafal sewaktu melakukan qiamulai di bangku sekolah.
Apa yang membuatkan saya tertarik adalah walaupun surah ini agak panjang bagi setiap ayatnya, beliau dapat menghafalnya dalam masa yang singkat.
Saya yakin bahawa faktor usia memainkan peranan dalam melancarkan proses hafalan tersebut. Suka saya sarankan kepada pembaca yang telah berkeluarga dan mempunyai anak agar mula melatih mereka menghafal.
Seterusnya menjadikan surah ini sebagai surah lazim di dalam kehidupan harian mereka. Mudah-mudahan apabila kita tiada kelak, mereka dapat membacakan surah ini sebagai sedekah kepada kita di alam kubur. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Sebahagian daripada al-Qur’an ada satu surah yang jumlah ayatnya tiga puluh ayat semuanya, surah ini dapat memberikan pertolongan kepada orang yang membacanya sehingga diampunkan segala dosa-dosanya, surah itu ialah “al-Mulk”
Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi
Kesimpulannya, apa yang dapat saya sarankan kepada pembaca agar mengamalkan ketiga-tiga surah penting ini untuk menambah saham akhirat dan buat diri kita sendiri.
Mulakan dengan mana-mana surah yang anda fikir mudah untuk dihafal. Di samping itu, perhatikan juga makna bagi setiap ayat yang dibaca. Kita juga mahu beramal dengan memahami makna bacaan kita.
Rujukan
1. Tafsir al-quran Al- Karim, Rasm Uthmani
2. http://www.islam.gov.my/