7 GOLONGAN YANG MENDAPAT PERTOLONGAN ALLAH DI PADANG MAHSYAR

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

“Tujuh golongan Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya;

Join Group Koleksi Kata Hikmah
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew

Imam (pemimpin) yang adil.
Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.
Insan yang hatinya terpaut dengan masjid.
Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.
Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata, ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah.
Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya.
Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

#1 – Imam (Pemimpin) Yang Adil

Rasulullah saw menekankan soal kepimpinan sehingga diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra yang bermaksud:

“Ketahuilah! Masing-masing kamu adalah pemimpin, dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin.

Seorang raja yang memimpin rakyat adalah pemimpin, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya.

Seorang suami adalah pemimpin anggota keluarganya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap mereka.

Seorang isteri juga pemimpin bagi rumah tangga serta anak suaminya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya.

Seorang budak juga pemimpin atas harta tuannya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya.

Ingatlah! Masing-masing kamu adalah pemimpin dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.”

Riwayat Muslim: 3408

#2 – Pemuda Yang Membesar Dengan Beribadah

Betapa pentingnya masa muda ini sehingga turut ditegaskan lagi di dalam hadith Rasulullah saw yang lain sebagai bermaksud:

“Pada hari Kiamat tidak seorang pun hamba diperkenankan meninggalkan posisinya kecuali ditanya lima perkara; tentang penggunaan umurnya, masa mudanya, kekayaannya dari mana dia peroleh dan untuk apa digunakan dan apa yang dilakukan terhadap ilmunya.”

Riwayat Tirmidzi: 2416

Menurut Syeikh Abdul Aziz bin Baz Rahimahullah, kepentingan para pemuda sebagai pembangun dan penegak Islam amat ditekankan di dalam hadith-hadith Rasulullah saw sehingga sering berada di bahagian permulaan hadith.

Namun begitu, nafsu di kala berdarah muda ini juga berkeadaan sangat liar dan membara. Amarahnya cukup mudah. Egonya juga agak tinggi. Kematangannya belum ranum. Godaan dunia itu sangat kuat menekan minda dan akalnya.

Maka seorang pemuda yang berjaya menjinakkan nafsunya dan mengawal emosi atas dasar sentiasa ingat dan tunduk patuh pada Allah swt membuktikan kekuatan dan ketaatan yang ada pada dirinya. Dengan segala macam kekuatan dan kenikmatan yang diberi Allah swt ketika waktu muda, di manakah kita habiskannya?

#3 – Insan Yang Hatinya Terpaut Dengan Masjid

Rasulullah saw, para khalifah ar Rasyidin dan Pemerintahan Khilafah Islam telah memberi contoh bagaimana masjid mesti diimarahkan untuk mengajak lebih ramai lagi yang mendatanginya dan bagaimana fungsinya begitu mustahak untuk kesinambungan syiar Islam di atas bumi Allah swt.

Rahmat Allah swt yang luas diberikan kepada mereka yang begitu terikat hatinya pada Rumah Allah walau dalam keadaan sembunyi seperti hadith berikut:

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda:

“Orang yang sentiasa berulang-alik ke masjid di dalam kegelapan malam mereka itulah orang yang hati sanubarinya tenggelam di dalam rahmat Allah.”

Riwayat Ibn Majah

#4 – Dua Insan Bertemu & Berpisah Kerana Allah

Allah swt berfirman:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah Al-Hujurat: 10)

Iman seorang hamba itu diiringi dengan bersaudara dan berkasih sayang. Melalui kasih sayang, maka seorang sahabat atau jiran boleh datang bersilaturrahim tanpa prejudis. Mereka saling memberi dan menerima lalu wujudlah suasana yang harmoni.

Yang paling indah, mereka saling nasihat-menasihati dan mengingati sesama sendiri agar tetap mencintai Allah swt. Lalu bersama-samalah mereka menyokong dan bersegera dalam kerja-kerja kebajikan.

Adakah berkasih sayang itu telah jadi suatu yang mustahil di zaman ini? Ayuh! Kita mulakan dengan yang paling mudah sekali seperti anjuran Rasulullah saw di dalam hadith di bawah:

“Demi yang diriku di dalam genggamanNya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu aku (nabi) tunjukkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya maka akan lahirlah kasih sayang? Sebarkan salam di antara kamu.”

Riwayat Muslim dari Abu Hurairah

#5 – Insan Yang Menolak Godaan Wanita

Wanita, godaan dan fitnah darinya sering menjadi peringatan para nabi dan rasul kepada umat masing-masing. Samada kisah Hawa yang memujuk Nabi Adam as memakan buah larangan sehingga tercampak keluar dari syurga.

Atau kisah Nabi Yusuf as yang menolak godaan Zulaikha dengan tegas kerana takutkan Tuhannya; kedua-dua kisah ini mempunyai pengajarannya sendiri. Manusia dicipta dengan nafsu dan beruntunglah mereka yang kuat menjaga maruahnya agar tidak tertipu dan terpedaya dengan keseronokkan sementara lakonan dunia.

Sentiasalah ingat dan takut akan Allah agar dapat mengelakkan diri dari maksiat. [Taqi]

#6 – Insan Yang Ikhlas Bersedekah

Tangan kiri berada sangat dekat dengan tangan kanan. Namun apa yang dilakukan oleh tangan kanan tidak disedari oleh tangan kiri. Inilah ikhlas; melakukan sesuatu tanpa mengharap balasan dan pujian dari manusia.

Apabila bimbang pada kemungkinan untuk menjadi riak dan ujub, maka amalan-amalan itu lebih baik disembunyikan dari khalayak. Diantara ungkapan Saidina Ali bin Abi Talib yang boleh menjadi pelajaran adalah:

“Suatu keburukan yang menyesakkanmu lebih baik di sisi Allah daripada kebaikan yang membuatmu ujub.”

Bersedekahlah. Melaluinya dihubungkan silaturrahim, dikongsi kasih sayang, membersihkan harta, membersihkan hati dan diredhai Allah swt. Namun buatlah dengan beradab. Kerana Allah swt tidak menilai besar kecilnya tapi Allah swt menilai ikhlas, taqwa dan tawadhuk si pemberi sedekah itu.

#7 – Insan Yang Menangis Mengingati Allah

Rasulullah saw bersabda:

“2 mata, yang keduanya tidak akan tersentuh api Neraka iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah, mata yang di malam hari berjaga-jaga (dari musuh) di jalan Allah.”

Riwayat Tirmidzi, kitab Fadbaa-ilil jibaad ‘an Rasulillaah, bab Maa Jaa-a fii Harasi fii sabilillaah: 3829

Terlalu keras sekeping hati yang tidak mampu untuk menangis bila mengingati Tuhan. Sedarkah? Apa sudah cukup selamatkah keberadaan kita di dunia dan sudah cukup terjaminkah tempat kita di akhirat?

Dari Uqbah bin Amir ra, dia berkata:

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah bagaimana caranya agar selamat?” Rasulullah bersabda: “Kendalikan lisanmu, hendaknya rumahmu membantumu merasa nyaman (untuk beribadah), dan menangislah karena dosa-dosamu.”

Riwayat Tirmidzi

Sumber: Tazkirah.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *