MasyaAllah! Selebriti Popular 70an Ini Bersyukur Diberi Hidayah Walaupun Umurnya Sudah Senja!

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

Mungkin ramai antara pembaca yang pernah meminati penyanyi popular Singapura pada tahun 1970-an, Rina Rahman yang pernah popular dengan lagu Ku Ingin Bahagia dan Ada Kesedihan Di Wajahmu.

Join Group Koleksi Kata Hikmah
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew

Rina atau nama sebenar Norhayati Abdul Rahman, 63, telah menerima Sijil Pengajian Al-Quran dan Tajwid selepas beliau telah menamatkan pengajian al-Quran dan tajwid tahap empat selama empat tahun.

Beliau yang ditemui telah melahirkan rasa syukur kerana dipanjangkan usia dan diberikan hidayah oleh Allah untuk mengenali semula serta mencintai kalam suci al-Quran di usia senja.

“Mempelajari semula bacaan al-Quran dengan tajwid yang betul pada usia lanjut adalah sesuatu yang sangat mencabar dan saya pernah beberapa kali mahu berputus asa.”

“Sepanjang empat tahun pengajian, cabaran paling besar adalah ketika menghadapi ujian bagi setiap tahap. Ketika itu ramai yang hampir putus asa kerana sudah berusia, memori pun tidak kuat untuk ingat apa yang kami belajar.

“Alhamdulillah, demi memartabatkan ilmu al-Quran untuk diri dan keluarga, saya habiskan juga pengajian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi Sijil Pengajian Al-Quran dan Tajwid ke-7 di Hotel Royale Chulan, Damansara, di sini, semalam.

Beliau menyatakan yang dia kini tekad untuk tidak lekang dengan al-Quran sehingga memastikan dirinya khatam al-Quran setiap tiga minggu.

Rina dalam pada itu telah menjawab persoalan mengenai persepsi masyarakat terhadap penggiat seni hiburan terutama dia dahulu pernah menyanyi di kelab malam satu ketika dulu berkata, Allah tidak melihat kepada permulaan seseorang sebaliknya pengakhiran.

“Pada saya, tidak kira siapa pun orang itu, bukan hak kita menilai amalan baik buruknya tetapi Allah. Saya yakin walaupun seseorang itu bergelar artis, selagi dia melakukan suruhan Allah dia masih ada takwa dan reda Allah.

“Semua orang pun pernah buat dosa. Tapi percayalah hidayah itu milik Allah yang boleh mengubah seseorang itu ke arah lebih baik pada pengakhirannya,” katanya pada majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan Baitul Hassan itu.

Pada majlis itu, 259 pelajar daripada 10 kelas kendalian Pertubuhan Kebajikan Baitul Hassan dianugerahkan sijil pengajian al-Quran dan tajwid selepas tamat mengikuti pengajian.

Menurut seorang penerima sijil berkenaan, Hawa Abdul Latif, 63, berkata, kelas yang disertainya itu suasananya tidak ubah seperti kelas mengaji dalam filem Pendekar Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Perkara yang membuat kami kekal untuk meneruskan kelas pengajian ini kerana guru bijak mengambil perhatian dan bersabar dengan kerenah kami yang sudah berusia,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Baitul Hassan, Ustaz Dino Rizal Suratman berkata, pertubuhan berkenaan bukan sahaja menumpukan kepada kelas pengajian al-Quran dan tajwid semata-mata, malahan mereka juga berperanan membantu asnaf, fakir miskin dan anak yatim.

“Baitul Hassan sudah memasuki tahun keempat dan cabaran yang paling besar adalah kami masih kekurangan dana serta sumbangan untuk menganjurkan program sumbangan dan kelas kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Pada majlis itu, program Bantuan Ihya Ramadan Anak Yatim, Asnaf dan Surau turut diadakan membabitkan 150 individu dan 22 surau serta madrasah yang menerima bantuan sumbangan oleh Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin.

Rina Rahman bahagia dalami ilmu Al-Quran

Rina Rahman bahagia dalami ilmu Al-Quran
PERKASA ILMU QURAN: Meniti usia senja 62 tahun, Rina Rahman meluangkan masa memperdalam ilmu agama, bahkan baru sahaja meraih sijil pengajian Al-Quran dan tajwid.

LAGU malar segar Ku Ingin Bahagia oleh penyanyi Rina Rahman, yang terkenal dengan julukan Karen Carpenter Singapura, pasti terpahat dalam fikiran ramai yang membesar sekitar 1970- hingga 1980-an.

Julukan itu diberi kerana suaranya dikatakan mirip penyanyi kumpulan adik-beradik The Carpenters, yang mempopularkan lagu Top Of The World.

“Saya masih ingat lagi pengalaman membuat persembahan di beberapa negara di luar Singapura. Menghasilkan album sendiri antara kenangan yang tidak saya lupakan.

“Di sebalik kesibukan merantau melihat dunia luar, saya bersyukur asal usul saya tidak dilupakan. Saya berusaha berpijak di bumi nyata tanpa melupakan identiti saya sebagai anak Melayu,” katanya.

Sungguhpun sudah ‘bersara’, sesekali apabila diajak menonton acara seni, beliau tidak pernah menolak, bahkan sering berusaha memenuhi undangan sebagai tanda sokongan terhadap karyawan seni. Itulah juga caranya melepaskan rindu terhadap teman seperjuangan.

Semasa menerima Sijil Pengajian Al-Quran dan Tajwid

MEMPERTINGKATKN ILMU AGAMA

Pada usia emasnya kini, ibu empat anak antara usia 24 tahun dengan 36 tahun itu banyak menghabiskan masa mengurus rumah tangga dan mempertingkat diri dalam pengetahuan agama.

Tahun lalu, Rina baru sahaja meraih sijil pengajian Al-Quran dan tajwid selepas melalui pengajian empat tahun di Pertubuhan Kebajikan Baitul Hassan, Kuala Lumpur.

“Dah berumur ‘ni, barulah Umi nak ‘graduate’. Apa pun, usia bukan penghalang bagi kita perbaiki diri dan belajar mempertingkat ilmu pengetahuan agama supaya kita lebih dekat dengan Allah,” ujarnya, yang selesa membahasakan dirinya Umi.

Keanggunan diri dan wajahnya tetap sama. Senyum manis dan budi bicaranya amat mempesona. Beliau kaya nasihat dan pedoman hidup yang ingin dikongsi.

Nenek empat cucu itu dikenali dengan lagu seperti Hidup dan Kesedaran dan Joget Sayang Disayang.

bersama Biduanita Kamaliah Latiff

TIADA RAHSIA NAMA SEBENAR

Dilamar komposer terkenal S. Atan menjadi artis rakaman di bawah label rakaman EMI Singapore, Rina asalnya bergiat di kelab malam dan terkenal di serata Kuala Lumpur dan Singapura.

Ditanya bagaimana timbulnya nama Rina sedangkan nama sebenarnya ialah Norhayati, beliau berkata seraya ketawa:

“Entahlah, Abang Atan (S. Atan) yang beri nama ‘tu. Agaknya, nama Norhayati panjang sangat tak?”

Jodohnya dengan EMI tidak panjang kerana beliau kemudian mendirikan rumah tangga dengan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin pada 1980 lalu berhijrah ke Kuala Lumpur.

Dua piring hitam LP sahaja sempat dirakamnya iaitu Ku Ingin Bahagia dan Ada Kesedihan Di Wajahmu.

PANDANGAN BELIAU LAGU -LAGU TERKINI

Mengulas pula tentang lagu masa kini, beliau jujur berkata zaman sudah berubah tetapi lagu hari ini agak ringan hingga mudah dilupakan.

“Sungguhpun begitu, saya kira industri muzik hari ini perlukan kesegaran. Dulu lain, sekarang lain,” katanya.

Ku Ingin Bahagia -Lagu yang mempopularkan namanya

NASIHAT – NIAT PENENTU JAYA

Dalam pada itu, anak seni ini sentiasa berusaha memperbaiki diri ke arah kebaikan. Beliau tidak lokek dengan nasihat yang bersandarkan niat penentu jaya.

“Nawaitu. Niat kita ‘tu penting. Jagalah nawaitu dalam apa jua yang kita lakukan,” katanya.

Sumber:

http://www.siakapkeli.my/2017/05/umur-bukan-penghalang-untuk-berhijrah.html?m=1

Via

http://www.beritaharian.sg/gah/rina-rahman-bahagia-dalami-ilmu-al-quran

via

http://wadahseniku.blogspot.my/2018/01/rina-rahman-bahagia-dalami-ilmu-al-quran.html?m=1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *