Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah
UPDATE (30 Januari 2018): Pada 30 Januari 2008, 10 tahun dulu, umat Islam di negara ni telah kehilangan seorang ulama terbilang dan berani – Dato’ Ishak Baharom. Allahyarham juga adalah bekas Mufti Selangor yang akhirnya dipecat dari jawatannya.
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew
_________________________________________________________________________
Malaysia, sebuah negara yang unik bila setiap dari negeri-negerinya ada seorang mufti. Mufti-mufti ini dipilih dari kalangan mereka yang mujtahid (ulama yang tinggi ilmunya). Tugas mufti adalah memberi fatwa, nasihat dan jawapan berkaitan agama kepada orang ramai. Menurut Sheikh Wahbah al-Zuhaili, fatwa bermaksud jawapan yang diberikan oleh mufti pada perkara yang berlaku bila ditanyakan soalan kepadanya.
Mufti jugak bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan (khususnya negeri) dalam isu-isu tertentu. Seperti mana baru-baru ni bila Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria minta kerajaan supaya jangan pinda akta 164. Akhirnya, kerajaan ambil keputusan untuk tangguhkan pindaan akta ni dan lakukan penelitian semula.
Beberapa minggu lepas pulak, mufti Wilayah Persekutuan dah tegur dua portal berita yang bagi gambaran salah tentang pendapat beliau pasal khalwat dalam teksi, Uber atau Grabcar. Jadinya, apa yang kita boleh kata adalah, institusi mufti sememangnya sangat rapat dengan masyarakat Islam di Malaysia. Ini kerana, mufti jugak bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan kemusykilan umat.
Tapi pada tahun 90-an dulu, pernah ada satu krisis diantara mufti dan kerajaan pemerintah. Perkara tu jadi bila tindakan mufti dipersoalkan dan jadi bahan politik. Hal inilah yang menimpa bekas mufti Selangor, Dato Hj Ishak Baharom yang akhirnya dipecat dari jawatannya. Oleh itu, mari kita mengenang kembali peristiwa ini dengan mengenali dengan lebih dekat siapa dia Ustaz Ishak Baharom.
Memegang jawatan mufti selama 12 tahun
Ustaz Ishak Baharom dilahirkan di Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor pada 1 Januari 1928. Ayahnya Hj Baharom bin Jaafar adalah berketurunan Banjar yang berasal dari Banjarmasin, Kalimantan sebelum berhijrah ke Tanah Melayu. Ustaz Ishak mula bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dan seterusnya di Sekolah Menengah Arab (Madrasah al-Masriah) Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Lepas habis belajar, beliau dilantik jadi cikgu kat sekolah ni untuk beberapa tahun, sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Ulum, Deoband, India. Lepas balik semula ke Tanah Air, beliau menjadi mudir (pengetua) di Sekolah Menengah Agama Batu 38, Sabak Bernam, Selangor.
Akhirnya pada 16 Ogos 1985, setelah mendapat perkenan dari Sultan Selangor, Ustaz Ishak dilantik menjadi Mufti Selangor yang ke 5. Dengan pelantikan ni, beliau diberi peluang yang cukup besar untuk berdakwah dan mengajak masyarakat menegakkan syiar Islam. Beliau pegang jawatan ini selama hampir 12 tahun sehingga tahun 1997.
“Beliau adalah guru yang sangat alim, tinggi ilmu agama dan tinggi akhlaknya. Malah Allahyarham yang saya kenali juga seorang yang berpendirian tegas serta tidak berkompromi terutamanya yang menyentuh soal amar makruf nahi mungkar.” – Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md. Hashim Yahya yang juga bekas anak murid Ustaz Ishak. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Keluarkan fatwa mengharamkan rokok dan ajaran sesat
Pada yang merokok tu, fatwa macam ni la yang malas nak dengar kan? Tapi itulah apa yang pernah difatwakan oleh Ustaz Ishak masa jadi mufti Selangor dulu. Malah, fatwa pengharaman rokok ni jugak dah diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989.
“Keputusan ini dibuat kerana merokok boleh memudaratkan kesihatan dan diakui oleh pakar perubatan. Sehubungan itu, mulai tarikh pewartaan berkenaan, umat Islam yang merokok perlu menghentikan amalan itu, selaras dengan enakmen dan hukum Islam. Alasan seperti adanya unsur memabukkan, mengkhayal dan memeningkan serta kesan buruk kepada kesihatan, di samping pembaziran dan baunya yang busuk dan tidak menyenangkan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia, 29 Disember 1995.
Sebenarnya, fatwa pengharaman rokok ni jugak dah dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Tapi kadang-kadang keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tak diwartakan oleh semua negeri. Ini kerana, setiap negeri jugak ada majlis fatwa mereka sendiri dan bidang kuasa berkaitan agama Islam adalah di bawah kerajaan negeridan bukannya pusat.
“Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa rokok adalah haram, tetapi apabila masing-masing (para mufti) balik ke negeri masing-masing, ada yang mengatakan bahawa rokok tidak haram. Majlis Fatwa Kebangsaan buat keputusan tetapi yang ada kuasa untuk melaksanakannya ialah Majlis Fatwa Negeri.” – Dato’ Hj Ishak Baharom, dipetik dari temubual Majalah Massa, juga tersiar di buku: Mufti Lawan Mahathir?
Fatwa pasal rokok ni dah diwartakan pada 1995, kiranya dah dekat 22 tahun rokok diharamkan! (Jangan buat-buat tak tahu pulak nanti). Selain tu, Ustaz Ishak jugak terkenal dengan ketegasannya dalam mengharamkan gerakan dan kumpulan ajaran sesat. Beliau sendiri dah keluarkan fatwa mengharamkan 12 kumpulan kumpulan ajaran sesat.
Antara ajaran sesat tu adalah Al-Arqam, Tarekat Zikrullah Hasan Anak Rimau, ajaran Nordin Puteh, Tarekat Naqsyabandiyah Kadirum Yahya, ajaran Ghazali bin Othman dan banyak lagi. Selain tu, beliau juga tegas dalam soal aurat. Sebab tu jugaklah, beliau kritik mana-mana pihak yang kata keputusan sama ada nak tutup aurat atau tak ni adalah hak asasi individu.
Ini kerana katanya, kalau yang cakap tu orang bukan Islam tak apa. Tapi untuk orang Islam, diorang tak boleh kata macam tu sebab orang Islam terikat dengan undang-undang dan peraturan yang dah ditetapkan oleh Allah swt. Kerana itu jugaklah, beliau dah keluarkan fatwa melarang mana-mana orang Islam dari masuk petandingan ratu cantik.
Kontroversi isu ratu cantik, sampai berlakunya krisis antara mufti dan kerajaan persekutuan
Pada 13 Jun 1997, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dah menangkap tiga orang gadis Melayu, Islam dalam pertandingan ratu cantik Miss Malaysia Petite 1997, di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa, Subang Jaya. Perkara ni jadi bila 2 tahun sebelum itu pada 1995, Majlis Fatwa Negeri Selangor dah keluarkan fatwa mengharamkan mana-mana wanita Islam dari menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik.
Walaupun begitu, tindakan JAIS tu dah dapat reaksi yang tak berapa positif dari pihak kerajaan pusat. Ini kerana, bagi Dr Mahathir (PM masa tu) tindakan JAIS tu agak keterlaluan untuk remaja-remaja tersebut, yang bukan je akan memalukan peserta tapi jugak keluarga diorang.
“Saya tidak kata pertandingan itu halal dan tidak kata tangkapan tidak perlu dibuat. Saya cuma kata jika mahu ambil tindakan janganlah terlalu keras. Kita mesti adil, kalau orang itu penyangak garilah, tapi budak-budak tu bertanding dalam pertandingan yang haram bagi mereka.” – Dr Mahathir, dipetik dari buku: Mufti lawan Mahathir, m/s58.
Bagi Dr Mahathir lagi, tindakan JAIS tu dah bagi persepsi buruk pada jabatan agama Islam dan akan buatkan orang bukan Islam takut nak dekatkan diri pada Islam. Baginya, biarlah JAIS bertindak dengan lebih berhemah tanpa memalukan mana-mana pihak. Bermula dari situlah berlakunya krisis antara kerajaan pimpinan Dr Mahathir dan Mufti Selangor.
Berlakunya perselisihan faham yang buatkan keadaan bertambah buruk
Krisis antara pihak mufti dan kerajaan bertambah besar bila surat khabar rasmi PAS, Harakah siarkan artikel bertajuk ‘Awas Gelincir Aqidah – Mufti’ pada 11 Ogos 1997. Artikel tu laporkan isi ceramah Ustaz Ishak yang tegur para pemimpin supaya jaga mulut dan berfikir panjang sebelum keluarkan apa-apa kenyataankhususnya yang ada kaitan dengan agama Islam.
Sebab katanya, kalau tersilap (buat kenyataan) ia boleh sebabkan seseorang tu tergelincir aqidah atau murtad. Jadinya bila artikel tu keluar, ramai yang kata kenyataan Ustaz Ishak tu ditujukan khas kepada Dr Mahathir pasal kes ratu cantik. Walaupun begitu, ada jugak yang kata sebenarnya isu ni taklah besar mana pada mulanya. Tapi perkara ni cuba diapi-apikan oleh pihak-pihak yang tak bertanggungjawab sampaikan jadi krisis antara dua orang tokoh ni.
Ustaz Ishak bagaimanapun nafikan yang kenyataannya tu ditujukan kepada Dr Mahathir. Sebaliknya, ia ditujukan kepada mana-mana pihak yang sengaja permainkan hukum Allah seperti Hudud.
“Beliau seterusnya menghuraikan beberapa kalimat yang boleh membuatkan seseorang itu murtad. Antara lain, mereka yang menyatakan ‘jika dilaksanakan hudud, banyaklah tangan yang kudung, bolehlah makan sup jari’ atau ‘jika dilaksanakan hukuman rejam, tidak dapat buat jalan raya sebab kehabisan batu’. Hj Ishak juga mengulangi, sesiapa yang mempersendekan hukum Allah, sama ada melalui lisan atau benci dalam hati, ia boleh jadi murtad.” – Mufti lawan Mahathir, m/s 03.
Bagaimanapun, perkara ni diterangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri masa tu, Dr Abdul Hamid Othman (beliau ni jugak boleh dikira sebagai penasihat agama PM). Katanya, laporan Harakah tu mengelirukan sampai ia macam menjurus ke arah orang tertentu (Dr Mahathir), sampai buatkan Dr Mahathir rasa tersinggung.
“Pendirian mereka (Dr Mahathir dan pemimpin UMNO yang lain) bukan menolak hukum dan fatwa mufti tetapi yang dibincangkan ialah bagaimana pelaksanaannya (pentadbiran) di negara ini. Tidak ada sesiapa mempertikaikan hukum Islam dan mufti yang membuat keputusan bahawa perkara itu (pertandingan ratu cantik) adalah haram. Yang menjadi persoalan ialah cara menjalankan hukum itu. Itu tidak sekali-kali menyebabkan murtad atau tergelincir daripada aqidah” – Dr Abdul Hamid Othman, dipetik dari Mufti lawan Mahathir, m/s 66.
Mula aktif dalam PAS selepas dipecat dari jawatan mufti
Disebabkan krisis antara beliau dan kerajaan pusat pimpinan Dr Mahathir semakin meruncing. Apatah lagi, bila artikel yang tersiar kat Harakah menampakkan yang beliau condong kepada PAS. Akhirnya Ustaz Ishak dipecat dari jawatan Mufti Selangor, bila kontraknya yang tamat tak disambung lagi (bahasa lainnya dipecat) pada bulan Oktober 1997. Tempat beliau lepas tu diganti oleh Dato Hj Mohd Tamyes Abdul Wahid.
“Ternyata Dr. Mahathir dan Dato Ishak Baharom tidak dapat disesuaikan lagi, maka tidak banyak yang dapat dibuat oleh kerajaan negeri dan menteri besar melainkan menjaga hati Perdana Menteri. Kuasa Sultan pun tidak berupaya mempertahan Muftinya, maka tiada jalan lain selain dari menamatkan perkhidmatannya.” – Subky Latif, dipetik dari Harakahdaily.
Selain tu, Ustaz Ishak memang terkenal sebagai orang yang berpegang teguh dalam cita-citanya untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang amalkan al-Quran dan al-Sunnah secara total. Kerana itu jugaklah, beliau menyokong penuh pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia.
“Saya setuju dengan pandangan Datuk Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang mengatakan jika mahu dianggap negara kita sebagai negara Islam, perlembagaannya mestilah berdasarkan Al- Quran dan al-Sunnah. Itu yang nombor satu. Kemudian barulah disebut perkara lain, seperti yang diisukan (orang politik) pada masa ini.” – Dato’ Ishak Baharom, katanya kepada majalah Tamadun.
Oleh itu, lepas saja dipecat dari jawatan mufti, beliau meneruskan kerjanya seperti biasa sebagai pendakwah. Beliau juga mula aktif terlibat dalam PAS. Sebenarnya, sejak tahun 1953 lagi beliau dah terlibat dalam PAS iaitu sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS sampai tahun 1956. Tapi bila beliau lanjutkan pelajaran ke India dan balik semula ke Malaysia, beliau dah mula kurang aktif dalam politik. Apatah lagi bila dilantik jadi mufti yang memerlukannya mengasingkan diri dari politik.
Bagaimanapun, lepas dipecat dari jawatan mufti beliau dah datang ke perjumpaan GERAK (Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia) pada 1998. Lepas pilihanraya 1999, beliau dah dilantik menjadi Ahli Majlis Syura PAS dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS. Beliau juga aktif bagi ceramah dipentas-pentas PAS.
Perginya seorang ulama yang mendapat perhormatan pihak istana
Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh agak sayu suasananya hari itu. Ini kerana Ustaz Ishak telah disahkan meninggal dunia pada pukul 3.05 petang pada 30 Januari 2008. Beliau menghembuskan nafas terakhirpada usia 80 tahun. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat umat Islam di negara ini. Tapi ternyata, jasanya tetap dikenangkan oleh rakyat dan juga pihak istana.
Sultan Selangor mengeluarkan titah supaya pengkebumian Ustaz Ishak disempurnakan dengan penuh istiadat negeri di Makam Diraja Shah Alam. Begitulah allahyarham sehingga lepas pemergiannya pun tetap dihormati oleh masyarakat dan sultan.
“Sekelian Raja-Raja, pembesar-pembesar negara dan pegawai tinggi kerajaan juga menghormatinya bukan saja kerana ilmu yang tinggi tetapi juga sikap dan pendapatnya yang tegas. Bukan mudah bagi seorang Mufti untuk mendapat penghormatan yang demikian, kerana pandangan umum merasakan mufti adalah terikat dengan pengaruh Sultan dan dalam zaman merdeka Perdana Menteri dan Menteri Besar menjadi penasihat utama para Sultan, maka mufti dirasakan lebih kurang sama dengan lain-lain pegawai kerajaan.” Subky Latif, dipetik dari Harakahdaily.
Walaupun namanya semakin dilupakan, tetapi sejarah tak akan dapat memadamkan jasa-jasanya yang tegas memartabatkan Islam ditempat yang sepatutnya. Dalam bidang penulisan, Ustaz Ishak pernah terjemahkan Kitab al-Adhkar tulisan Imam al-Nawawi dan menulis buku ‘Solat dan Keajaibannya‘.
Mufti kena elakkan diri dari dieksploitasi
Kalau kita tengok sejak akhir-akhir ni, nampaknya ada beberapa kes yang memperlihatkan seolah-olah institusi mufti ini diperlekehkan. Pada tahun lepas, ada satu NGO yang dah bagi anugerah ‘menghina intelektual’ kepada mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Perkara ni sebenarnya memang tak patut berlaku.
Dalam waktu yang sama, kita juga boleh puji pendekatan yang mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri buat dalam mendekati masyarakat. Buat masa sekarang, beliau dah ada page FB, Twitter, Instagram dan channel Telegram sendiri. Semua perkara ni sangat baik sebab dapat mendekatkan masyarakat dengan mufti.
Oleh itu, institusi mufti hendaklah dihormati. Kalau ada sebarang perselisihan pendapat atau pandangan, perkara tu hendaklah diselesaikan secara berhemah dan ilmiah. Tak guna pun untuk kita asyik bergaduh dan menuduh. Ini kerana, kesannya bukan je akan memburukkan pandangan masyarakat kepada ulama, malah kepada institusi agama itu sendiri.
“Saya mahu menyeru kepada mufti supaya menghormati diri mereka sendiri daripada menjerumus diri mereka kepada sesuatu situasi yang tidak dihormati oleh masyarakat… Justeru semua agamawan, pendakwah dan mufti harus berhati-hati, tidak semua yang kita tahu dan faham akan diberitahu kepada masyarakat semata-mata untuk tujuan mencari populariti, atau desakan pihak tertentu, sebaliknya kenyataan dibuat itu menimbulkan kekeliruan kepada sebahagian masyarakat pula.” – Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN). Dipetik dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
[Artikel ini banyak merujuk jurnal : Dato’ Haji Ishak Baharom dan Sumbangan Pemikirannya di Malaysia (tulisan Kamarudin Salleh), buku: Tokoh-tokoh Ulama Selangor (terbitan Universiti Islam Antarabangsa Selangor), Mufti lawan Mahathir (tulisan Ahmad Lufti Othman) dan buku: Fatwa dan Mufti: Hukum, Etika dan Sejarah (tulisan Dr Zulkifli al-Bakri)]