BACALAH Al-Mathurat Pagi & Petang, Ganjarannya Dalam Rumah Tangga Datang Tak Disangka-sangka!!!

Join Telegram Taman Ilmu Di Bawah

Telegram

Doa merupakan senjata bagi umat Islam. Malah Al-Quran juga adalah sumber penawar baik daripada segi zahir mahupun batin. Justeru, sebagai suami isteri menjadi kewajipan suami untuk membimbing isteri dan keluarga mendekatkan diri dengan agama, selain menuntut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang sebagai senjata untuk miliki rumah tangga bahagia.
Suami isteri yang sedang berdepan dengan masalah elok menjadikan wirid dan doa Al-Mathurat ini sebagai amalan di waktu pagi dan petang. Bahkan banyak ganjaran untuk rumah tangga yang anda berdua boleh peroleh dengan mengamalkan Al-Mathurat. Pasti selepas anda sudah mengetahui ganjarannya, anda akan rasa sayang untuk meninggalkannya walaupun satu doa.

Join Group Koleksi Kata Hikmah
Kami Sokong Ustaz Ebit Lew

Kelebihan Mengamalkan Al-Mathurat

1. Tidak dihampiri syaitan
2. Rumah dan keluarganya terselamat daripada perkara yang tidak diingini.
3. Allah mencukupkannya dengan apa yang sangat diperlukan dari segi urusan dunia dan akhirat.
4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.
5. Selamat dari segala sesuatu.
6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.
7. Diredhai Allah SWT.
8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.
9. Terhindar daripada syirik.
10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.
11. Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang.
12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat.
13. Membacanya di waktu pagi akan dipelihara Allah SWT hingga ke petang. Siapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.
14. Mengamalkannya umpama mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dari sudut zikir dan berdoa, dan pelbagai lagi kelebihan.

Amalan Suami Isteri

Jika anda berada di sebelah suami yang sedang memandu, bacakanlah wirid dan doa harian ini. Biar suami di sebelah mendengar bacaan anda. Ikut tertibnya, jika perlu membaca tiga kali sehingga habis sebagaimana yang terkandung dalam buku Al Mathurat.
Ada bahagian wirid dan doa yang perlu diperhatikan dengan teliti terutamanya ketika membaca sebelah pagi atau petang. Ada beberapa bahagian ayat perlu diubah mengikut masa membacanya. (boleh rujuk buku Al Mathurat)

Sebaiknya, bacalah sampai doa terakhir dalam Al Mathurat. Kadangkala kerana ingin cepat, kita mengelak daripada membaca wirid dan doa ini sampai habis. Terjemahan doa ini sahaja membaca makna yang cukup besar dalam menyatukan hati-hati insan yang dekat dengan pengamalnya.

Andai anda sedang berselisih dengan suami atau isteri, bacalah doa akhir ini kerana ia mampu menyatukan hati, selain mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara pasangan malah anak-anak.

Agar hidup yang baharu dibina diberkati dan dilindungi, cuba ikhtiar dengan pendekatan Islam. Nescaya kehidupan sebagai suami dan isteri akan mendapat rahmat juga keberkatan daripada Allah SWT.

Doa Akhir

“Ya Allah, menjelanglah kini malam (ciptaan)-Mu, beredarlah sudah siang-Mu, inilah keluhan suara dan pinta para du‘at-Mu. Maka oleh itu ampunkanlah dosaku. Ya Allah, engkau mengetahui bahawa hati-hati ini… (bayangkan wajah rakan seperjuangan) telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah-Mu), bersatu memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia mendaulat dan menyokong syariat-Mu. Maka eratkanlah Ya Allah ikatannya.

Jika engkau mentakdirkan mati maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami (Nabi) Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.”
* Ketika membaca doa ini, niatkanlah untuk suami/isteri dan jangan lupa menyebut namanya.

Pengertian Al-Mathurat

1. Al-Mathurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Ia disusun dan dihimpunkan oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasar dalil-dalil sahih. Rasulullah SAW adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperoleh daripada amalan doa dan wirid ini.
2. Terdapat dua jenis yang boleh dibaca iaitu Sughra dan Kubra. Andainya anda diburu waktu, sudah memadai membaca jenis Sughra kerana surah pilihan dan doanya lebih ringkas.
3. Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al-Mathurat ini akan memantapkan jiwa di samping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui Ilahi, memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.
4. Bagi seorang Muslim masanya tidak berlalu begitu saja. Di kala pagi dan petang, dia sentiasa bertasbih, istighfar, tahmid dan berdoa kepada Allah SWT dengan zikir yang ma’thur (yang berasal daripada Nabi SAW).

5. Jika sesiapa mengamalkan zikir Al-Mathurat, anda akan merasakan perbezaannya dengan hari-hari yang tidak dimulakan dengan zikir Al-Mathurat. Begitulah kekuatan doa dan wirid dalam Al-Mathurat yang dianggap senjata orang mukmin.

Kisah Al-Mathurat… Ramai Yang Tak Kenal Engkau….

Kedengaran suara anak aku riuh berkejaran dengan kawan-kawannya. Bagaikan tiga bulan tidak berjumpa. Sedang isteriku bidadariku asyik mengalunkan zikir al-Mathurat di kala gerimis senja.

Dan seseorang yang sesihat dan sesegar aku ini hanya menanti umpama peminat menagih belas kasihan menanti penyanyi kesayangan mendendangkan lagu kegemaran.

Aku lebih suka menghayati dan mendengar keindahan suara isteriku mengalunan zikir al-Mathurat. Aku hanya tersengih kepada isteriku yang menjeling tajam dengan kemalasanku berzikir bersama-samanya. “Abang, marilah kita bersama-sama baca al-Mathurat ini,” pinta isteriku dengan sungguh-sungguh.

Aku terkenang, aku pernah cuba mempromosikan al-Mathurat ini dengan sebahagian kenalan. Malangnya zikir al-Mathurat ini masih terasing di kaca mata kita semua.

Semasa aku ke MPH bersama kawan-kawan, aku berkata di dalam hatiku bersungguh-sungguh. “Aku pasti akan menarik minat kawanku menyukai al-Mathurat.”

“Jom kita beli al-Mathurat ini, bagus sekali zikir ini diamalkan pada pagi dan petang,” pinta aku pada kawanku.

“Hrmm… aku tak pernah dengar la al-Mathurat ini. Baik aku beli tafsir al-Quran ataupun buku hadis sahaja. Lagi bagus,” bantah kawanku.

Aku hanya menjawab di dalam hati, “Al-Mathurat ini dikarang oleh Imam Hassan al-Banna. Di dalam buku kecil ini terkumpulnya zikir dan doa yang sahih daripada Nabi Muhammad S.A.W untuk diamalkan di kala pagi dan petang.”

Au terdiam daripada meneruskan bicara. Dalam menasihati kita tidak boleh berlebih-lebihan dan tidak boleh memaksa. Lagipun aku ini juga daif dan kerdil dari sudut keilmuan agama.

Aku mendoakan agar rakan aku ini akan terbuka dadanya untuk menelaah dan menelusuri keindahan alunan zikir-zikir al-Mathurat.

Aku teringat akan nasihat isteriku, “Amalkan al-Mathurat, ianya penawar duka lara dan ubat ketenangan di dalam jantung hati.”

Selepas isteriku selesai mengalunkan zikir al Mathurat, lantas aku memulakan pembacaan zikir al-Mathurat. Aku tersenyum sambil memandang wajah isteriku.

Isteriku tersenyum memanjang-manjang. Biasalah orang perempuan, wajib mahu menyaksikan sendiri suami-suami mereka melafazkan zikir.

Al-Mathurat sememangnya mengandungi seni makna dan lafaz yang indah sekali. Ayat pertama zikir al-Mathurat sahaja sudah mengajar kita untuk mendapatkan perlindungan daripada Syaitan.

“Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui daripada gangguan syaitan yang terkutuk.”

Begitulah tujuan hidup kita, agar kita tidak tergelincir di dalam belitan Iblis (talbis iblis). Kita ini insan yang lemah, memerlukan perlindungan daripada gangguan Syaitan dengan kuasa Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Begitu juga pembacaan al-Quran, dimulakan dengan perlindungan daripada gangguan syaitan dan diakhiri juga dengan perlindungan daripada gangguan syaitan (surah an-Naas).

Kita juga diajar mensyukuri nikmat Allah dengan lafaz indah daripada zikir ini:

“Allahumma, nikmat apa yang aku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhlukMu adalah daripadaMu, yang Esa dan tidak bersekutu, maka bagiMu segala puji dan syukur.”

Aku memandang ke luar jendela di kala gerimis senja. Ya, sudah banyak nikmat yang Engkau kurniakan dalam hidup aku. Engkau kurniakan nikmat isteriku kepadaku. Isteriku bidadariku.

Manakala anak sebagai penawar duka lara. Aku masih boleh bernafas nyaman dan penuh rasa kekenyangan.

Terdapat alunan mensucikan Allah S.W.T yang sangat indah. Allah S.W.T itu suci daripada kelemahan makhluk-makhluknya. Zikir di bawah ini merupakan pujian (tasbih):

Sebanyak mana makhluk ciptaannya
Sebanyak mana keredhaanNya
Seberat mana ArasyNya
dan sebanyak mana kalimatnya.

Cukuplah zikir di bawah yang merupakan shortcut kepada zikir beratus ribu kali. Teringat pesanan Dr Zaharuddin, “Zikir di bawah ini membezakan orang yang berilmu dengan orang yang beramal (tanpa ilmu).”

“Maha suci Allah dan segala puji bagiNya, sebanyak bilangan ciptaanNya dan keredhaanNya, dan seberat timbangan ‘arasyNya dan sebanyak dakwat (yang terpakai untuk menuliskan) kalimatNya.”

Masih banyak ingin aku kongsikan kandungan al-Mathurat ini. Tapi cukuplah aku menutup perkongsian ini dengan Penghulu Istighfar yang terselit di dalam al-Mathurat ini.

Di dalam Penghulu Istighfar ini dihimpunkan seni makna dan lafaz doa yang indah yang seharusnya dihafal oleh setiap umat Islam. Semoga iman kita tidak berkurang umpama daun-duan hijau kekuningan, yang ditiup angin selepas dicakar-cakar atau dikoyak-koyak.

Tanyalah diri kita, Allah di mana di dalam jiwa kita? Siapakah yang dapat mencarikkan kota takdir kita (penutup kisah kita…sama ada bahagia atau derita?)

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. (Riwayat al-Bukhari (6306))

Maklumat Penulis Kisah ini:

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia. Ikuti blog beliau, http://mridhuansulaiman.blogspot.my/

Gambar : sekadar hiasan

sumber foto google

Kredit : Iluvislam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *